PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi syarikat kosmetik dan kecantikkan miliknya iaitu SimplySiti telah membuat permohonan maaf susulan tuduhan meniru pembungkusan tisu basah yang serupa dengan jenama tempatan lain.

“SimplySiti Sdn.Bhd., mengambil sepenuh perhatian di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh pengasas syarikat Kayman Beauty di media sosial mengenai dakwaan terdapat persamaan pada rekaan pembungkusan produk tisu pembersih keluaran syarikat tersebut.

“Dimaklumkan bahawa pihak SimplySiti tidak berniat meniru mana-mana produk atau rekaan pembungkusan kerana tisu pembersih ini dikeluarkan menerusi pengilang peralatan asli atau OEM.

“SimplySiti dengan tulus ikhlas memohon maaf di atas segala salah faham atau kekeliruan yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Malah, pihak SimplySiti berharap isu tersebut tidak lagi diperbesarkan dan mahu segera diselesaikan secara baik.

“Kami amat menghormati syarikat-syarikat pengeluar produk lain serta mahu bersaing secara sihat di dalam perniagaan.

“Semoga dengan penjelasan ini, segala kekeliruan dan salah faham di antara pihak SimplySiti dan Kayman Beauty dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.

Semalam, seorang pengguna Twitter yang juga pengasas Kayman Beauty yang dikenali sebagai Nabella Anuar, meluahkan kekecewaan terhadap satu syarikat pengeluar produk yang meniru hasil kerjanya.

Luahan pemilik produk Kayman Beauty yang mendakwa SimplySiti meniru produknya

Meskipun tidak menyebut secara terperinci produk yang dimaksudkan, namun rata-rata warganet sudah dapat meneka.

“Sedih sebenarnya bila tengok hasil kerja kita yang syarikat kecil ini ditiru sebiji-sebiji oleh syarikat besar.

“Tiba-tiba ‘design’ yang ditiru tu dekat ‘drugstore’. Yang kami ini masih merangkak nak ‘survive’,” ciap pemilik akaun Twitter itu.