Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kilang roti di Jalan Kedah hari ini. BERNAMApix

BARU sahaja dua minggu lalu kisah kilang kicap dan belacan diarah tutup akibat kotor, hari ini dua lagi premis di Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan ‘syurga makanan’ berdepan tindakan sama.

Malah, sebulan lalu, kes hampir sama diambil tindakan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melibatkan sebuah kilang fucuk.

Ceritanya, berkait masalah kebersihan dan lebih menjijikkan najis haiwan seperti tikus turut ditemui di premis-premis berkenaan.

Terbaharu, sebuah kilang roti di Jalan Kedah, Pulau Pinang diarahkan tutup bermula hari ini kerana didapati tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan.

Ia dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

Baca: Jijik.. Anjing, najis tikus dalam premis kilang belacan, tauhu

Kilang roti diarah tutup, JKNPP temui najis tikus pada dulang doh

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut mendapati kilang roti yang beroperasi sejak 50 tahun lepas menggunakan logo halal yang mengelirukan dan peralatan membuat roti didapati ‘berkerak’.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata, kilang roti itu pernah diberikan amaran tahun lepas kerana operasi mereka tidak menepati standard kebersihan yang ditetapkan dan pemiliknya diarahkan menutup selama dua minggu bermula hari ini.

“Kali ini menerusi pemeriksaan dan serbuan hari ini, kami mendapati ada sisa najis tikus di atas plastik bungkusan roti dan terdapat sisa minyak tepu di atas rak pembakar roti.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana kemungkinan berlaku pencemaran terhadap roti yang dijual kepada pelanggan.

“Malah, pemilik kilang itu turut menggunakan kotak yang mempunyai logo halal sedangkan tidak pernah memohonnya..tindakan tersebut mengelirukan pengguna kerana menyangka ia halal dan pasaran roti dari kilang tersebut di sekitar negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bersih itu hari ini.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata dalam operasi sama pihaknya turut mengarahkan sebuah kedai pembuatan mi yang beroperasi sejak 80 tahun lepas di Jalan Pintal Tali ditutup.

Ia melibatkan pelbagai isu membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan termasuk meletakkan makanan yang telah diproses dil lantai.

Katanya, kedai mi berkenaan turut diarah tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih serta tidak menepati tahap keselamatan makanan yang ditetapkan oleh JKNPP.

“Kami pernah menyerbu kedai ini juga pada tahun lepas dan memberi amaran supaya mereka meningkatkan mutu kebersihan namun ia tidak diikuti.

“Dalam pemeriksaan hari ini mendapati pemiliknya meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai malah produknya juga tidak mempunyai label,” kata Mohd Wazir.

Menurutnya, arahan penutupan kedua-dua premis itu dibuat menurut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 ke atas kilang roti dan kedai pembuatan mi tersebut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram