Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melalui perjalanan sejarah yang panjang sejak penubuhan Sultan Idris Training College (SITC), pusat pengajian bersejarah yang telah melahirkan ramai guru-guru sekolah tanahair bermula 29 November tahun 1922.

Pada tahun November 2022, UPSI bakal menyambut 100 tahun penubuhannya. Demi menyemarakkan suasana ambang sambutan tersebut, pintu gerbang Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City akan dilimpahi cahaya neon bermula malam ini hingga sambutan ambang seabad penubuhan institusi pendidikan terulung tersebut pada 29 November ini.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, rekaan pintu gerbang yang unik di Kampus Sultan Azlan Shah telah menjadi salah sebuah mercu tanda di Tanjung Malim sejak tahun 2012 dan menjadi tarikan kepada ramai pengunjung di daerah tersebut.

“Dengan berlatarbelakang permandangan banjaran titiwangsa yang indah, Kampus Sultan Azlan Shah menjadi kemegahan warga Muallim. Mengambil kesempatan tersebut, kita akan memasang dan memainkan lampu neon pelbagai warna di hadapan pintu gerbang sempena istiadat konvokesyen yang sedang berlangsung (20 hinggga 26 November 2021) sehingga malam sambutan 100 tahun UPSI pada 29 November ini,” jelasnya.

Limpahan cahaya neon akan dimainkan bermula pukul 7.30 malam dan berakhir 12 tengah malam tersebut dijangka menjadi galakan tarikan orang ramai dan pelancong ke Negeri Perak serta daerah Muallim sekaligus membantu melestarikan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Sesuai dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu merapatkan jurang universiti dengan masyarakat melalui pendekatan Universiti for Society (U4S), UPSI akan terus melaksanakan program berkaitan dan prasarana seperti perkhidmatan penginapan hotel Scholar’s Suite serta kemudahan ruang riadah dan sukan sepert UPSI’s Adventure Park serta UPSI Sport City untuk kemudahan awam,” jelasnya lanjut.