SELASA. 23 November 2021, pada jam 11 pagi, telah berlangsung kes pendengaran keabsahan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Di antara plaintifnya ialah ISMA, GPMS, GAPENA dan MAPPIM. Defendannya pula terdiri daripada Menteri Pendidikan, Kementerian Pendidikan dan disertai sama beberapa pertubuhan, termasuk MCA, MIC, GERAKAN, Dong Zong, Hua Zong dan beberapa lagi.

Jika diperhalusi, senarai defendan itu amat menarik. Bacalah dan binalah persepsi sendiri mengikut selera, kefahaman dan gerak hati masing-masing.

Kebetulan pagi Selasa itu saya ada masa terluang, maka diterimalah undangan rakan-rakan untuk hadir mendengar kes itu.

Sambil duduk sembang-sembang di ruang legar kompleks mahkamah bersama rakan-rakan, saya perhatikan gelagat sekumpulan mereka yang hadir sama. Walaupun tak faham bahasa pertuturan mereka, hakikatnya mereka juga berada di situ, pastinya mereka hadir dengan tujuan sama seperti kami, iaitu untuk mengikuti kes pendengaran itu.

Dalam hati saya berkata, inilah padahnya apabila pemerintah terlalu berlembut dengan desakan puak-puak ini. Perlembagaan pun berani mereka robek. Bagaimana mungkin mereka rela hati hidup sebumbung dengan kami, atas nama Keluarga Malaysia. Jiwa kami berbeza. Kami warganegara, pastinya mereka juga warganegara, tapi gayanya bukan macam orang kita.

Bayangkan, usahkan nak bertegur sapa, cakap pun bahasa lain-lain. Duduk bersebelahan pun macam bangsa asing. Entah-entah ada dalam kalangan mereka yang tak tahu berbahasa Melayu, walhal Perlembagaan kata Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan.

Kami ibarat ayam, itik, angsa dan puyoh di dalam reban yang sama. Macam mana semua ini boleh terjadi di negara ini?

Salah siapa?

Maaf, kasar benar bunyinya bahasa saya. Adakah wajar pihak-pihak ini dipersalahkan sehingga terjadinya semua ini, kini di luar kawalan mana-mana pihak merawat sopaknya. Pemerintahkah yang salah? Atau, pemimpin, pentadbir dan pendidik?

Sampai bila kami dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) terpaksa bertembung dan bertikam lidah dengan pemimpin dan jentera pentadbiran kerajaan, orang kami sendiri, memperjuangkan Perlembagaan, berdepan dengan mereka itu, yang namanya warganegara sama seperti kami, tapi kiblat kewarganegaraannya jauh berbeza dari kami.

Salah-salah hemat, kami pula yang akan dipersalahkan oleh pemimpin dan pentadbir yang saya maksudkan, kerana asyik mempertikaikan kiblat patriotisme puak-puak ini.

Baca: Merungkai lambakan siswazah menganggur bumiputera

Bertelagahlah sesama kita, malah, saman menyamanlah sesama kita, hakikatnya, cacing sudah naik ke mata.

Sesama kita akan terus bersandiwara, seolah-olah hidup di alam fantasi. Sesama kita akan terus membina cita-cita membina Keluarga Malaysia, sebuah keluarga majmuk yang murni, aman damai, sejahtera dan makmur secara bersama dan saksama. Murni sungguh cita-cita itu. Soalnya, sejauh manakah keikhlasan mereka itu sudi bersama kita merealisasikan hasrat murni ini?

Di mahkamah ini, pada hari ini, semakin terserlah warna sebenar wajah dan hati kawan-kawan kita itu. Pun kerajaan masih buat tak tau.

Bagaimana jika mereka juga buat tak tau dengan cita-cita kerajaan itu. Mentelahan pula, mereka sudah dapat semua yang mereka desak sekian lama, dengan cara dan helah mereka yang terbukti mampu menjinakkan semua lapisan pemerintahan, kepimpinan dan pentadbiran negara.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)