Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Najib Tun Razak hari ini memohon Mahkamah Rayuan agar melapangkan tarikh 8 Disember ini yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut dokumen daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, menyatakan permohonan itu dikemukakan atas alasan Najib akan berada di Singapura sehingga 5 Disember ini.

“Pihak perayu (Najib) dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Dis sehingga 17 Disember, atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah,” menurut dokumen itu.

Menurut dokumen itu sejurus pulang dari Singapura pada 5 Disember, perayu  diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis dan perayu hanya boleh hadir ke mahkamah atau tempat awam bermula 13 Dis.

Menurut dokumen itu pihak pendakwa raya  juga telah dimaklumkan berkenaan perkara itu  dan  tidak membantah terhadap permohonan untuk menetapkan tarikh keputusan baru pada minggu di antara 13 Dis hingga 17 Dis.

Selain itu, dokumen itu menyatakan perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapi  peguam yang mewakili Najib, Tan Sri  Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi juga ditetapkan untuk disambung  bicara pada 8 Dis dan  Najib juga mempunyai perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

Menurut dokumen itu  pada minggu seterusnya iaitu 20 Dis sehingga 23 Dis, perbicaraan kes bunuh melibatkan Samirah Muzaffar yang diwakili Muhammad Shafee akan bersambung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini  memaklumkan keputusan rayuan Najib itu  ditetapkan pada 8 Dis  ini.

Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

— BERNAMA