DATUK Seri Mahdzir Khalid (tengah) melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, hari ini. GAMBAR: Facebook Mahdzir Khalid

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan kos berjumlah RM28 juta menerusi Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai pelan tindakan kementerian itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelan strategik 2021-2025 itu merangkumi visi, hala tuju dan rangka pelaksanaan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kata beliau, ia sejajar dengan usaha kementerian itu memastikan mandat kesejahteraan masyarakat luar bandar tercapai.

“Teras Pelan Strategik Pendigitalan ini menunjukkan bahawa peranan KPLB dalam pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi, keusahawanan dan pembangunan modal insan semata-mata.

“Malah, kementerian juga berperanan menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 sebagai pemacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran PSP KPLB 2021-2025 dan sambutan Hari Inovasi KPLB 2021, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Menurut Mahdzir, pelan strategik itu menggariskan empat teras utama iaitu Pemantapan Perkhidmatan Digital Bersepadu dan Inklusif serta Pengukuhan Infrastruktur Digital Berasaskan Teknologi Terkini dan Selamat.

Baca artikel berkaitan: Keusahawanan luar bandar mampu tingkat kualiti penduduk pedalaman – Mahdzir

Selain itu, beliau berkata, dua lagi teras utama pelan berkenaan adalah Pemerkasaan Pembudayaan dan Profesionalisme Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Tadbir Urus ICT yang Tuntas dan Mampan.

Teras strategik itu juga jelas Mahdzir, disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan yang akan disusuli dengan pemantauan berterusan agar sentiasa selari dengan aspirasi kementerian dan kerajaan.

Beliau memaklumkan, pelan itu juga akan memfokuskan untuk pembangunan di 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) seluruh negara.

“Selain untuk menterjemahkan aspirasi kerajaan melalui Pelan Strategik Pendigitalan, ia juga merupakan komitmen kementerian terhadap usaha menggariskan strategi pelaksanaan transformasi digital bagi menjayakan agenda ‘Luar Bandar Sejahtera’,” jelas beliau.

Mengenai Hari Inovasi KPLB 2021, kementerian kata Mahdzir terus menyokong pembudayaan inovasi dan penggunaan teknologi demi memastikan kelangsungan dalam perkhidmatan awam.

Ia juga sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada kakitangan yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan dan memberi impak yang besar kepada pembangunan organisasi demi menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Enam kategori anugerah kualiti dan inovasi dipertandingkan diperingkat KPLB dan agensinya.

Antaranya Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Anugerah Pengurusan Aset dan Stor, Anugerah Pengurusan Kewangan.

Anugerah Pengurusan Tadbir Urus Bahagian (Keselamatan Perlindungan), Anugerah Pengurusan PKD Zon Tengah (Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) dan Anugerah Keceriaan Kemerdekaan Ibu Pejabat KPLB.

Kategori anugerah dipertandingkan bagi mewujudkan persaingan antara agensi selain berkongsi amalan baik dalam perkhidmatan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram