TELUK INTAN yang terletak dalam daerah Hilir Perak merupakan bandar yang terbesar di bahagian selatan Perak. Ia dilingkungi aliran Sungai Perak dan Sungai Bidor.

Salah satu mercu tanda bandar ini ialah Menara Jam Condong Teluk Intan yang sering menjadi tumpuan pelancong jika berkunjung ke bandar ini.

Generasi terdahulu pasti biasa mendengar nama Teluk Anson, nama bandar ini sebelum ia ditukar kepada Teluk Intan berkuatkuasa pada 1 Januari 1982.  Tetapi generasi sekarang mungkin ramai tidak tahu, asal nama bandar ini dahulunya ialah Teluk Mak Intan.

Dahulu Teluk Intan dikenali sebagai Teluk Anson.

Pada masa dahulu, kawasan ini merupakan satu lokasi perdagangan yang penting di Perak. Terdapat sebuah pelabuhan yang berfungsi untuk membawa bijih timah. Kawasan teluk di kuala Sungai Perak ini dikenali dengan nama Teluk Mak Intan.

Itulah nama asal bandar ini. Terdapat dua versi cerita tentang bagaimana asal usul nama Teluk Mak Intan itu terhasil.

Versi pertama menceritakan nama Teluk Mak Intan diambil sempena nama seorang janda bernama Mak Intan yang mempunyai rupa paras jelita.

Mak Intan merupakan seorang saudagar berasal dari Mandahiling, Sumatera dan datang meneroka dan membuka penempatan di Teluk Intan sekitar awal abad ke-19. Kawasan yang diterokai itu dikenali sebagai Pekan Mak Intan.

Sejak pembukaan kawasan itu, ramai orang dari seberang berketurunan Mandahiling, Jawa, Rawa, Minangkabau, Kampar dan juga India-Bombay telah datang mendiami penempatan itu. Kebanyakannya terdiri daripada golongan pedagang dan petani. Maka, sejak itu berkembanglah penempatan di Teluk Mak Intan tersebut.

Teluk Intan dahulu yang dikenali sebagai Teluk Anson.

Versi kedua pula mengisahkan seorang gadis keturunan Sumatera bernama Intan yang datang dari sebuah keluarga berpengaruh. Bapanya seorang saudagar yang sering berulang-alik dari Sumatera ke pekan ini untuk berniaga kain.

Intan suka mandi di tebing Sungai Perak bersama-sama rakan-rakannya. Suatu hari, cincin pemberian ibunya telah tenggelam dan lenyap di dalam lubuk Sungai Perak.

Apabila para pedagang bertanyakan nama teluk di situ, penduduk akan mengatakan ‘Teluk Intan Hilang’ dan kemudian singkatannya dipanggil Teluk Mak Intan sahaja.

Ada juga catatan lain yang menyebut nama tempat ini sebagai Teluk Ma’ Hitam.

Setelah dikenali sejak awal sebagai Teluk Mak Intan, kedatangan penjajah telah mengubah nama pekan ini.

Enam tahun selepas campur tangan Inggeris di Perak, nama pekan ini telah berubah. Pada tahun 1880, ketika itu pusat pentadbiran Hilir Perak terletak di Durian Sebatang.

Namun, Residen Perak ketiga, Sir Hugh Low telah memilih untuk memindahkan pusat pentadbiran daerah Hilir Perak ke Teluk Mak Intan, yang merasakan kedudukan geografi kawasan ini lebih mudah untuk pentadbiran dan perdagangan mereka.

Untuk mewujudkan bandar baru dan merancakkan ekonomi, Huge Low telah mencadangkan kepada Dewan Negeri supaya nama teluk ini ditukar kepada Teluk Anson, sebagai penghargaan kepada Jeneral Archibald Anson, pegawai yang merangka pembinaan bandar Teluk Mak Intan ketika itu.

Jeneral Archibald Anson ketika itu merupakan gabenor daerah Hilir Perak. Pada tahun 1882, nama Teluk Mak Intan ditukar menjadi Teluk Anson.

Archibald Anson. Nama Teluk Anson diambil sempena namanya.

Setelah ditukar, perlahan-lahan nama Teluk Mak Intan tenggelam, dan nama Teluk Anson pula meniti di bibir penduduk. Masyarakat Cina ketika itu kebanyakannya memanggil teluk Anson dengan sebutan ‘Teluk Anshun’. Manakala orang Melayu dulu memanggilnya dengan bunyi ‘Teluk Ensen’.

Hanya setelah 100 tahun iaitu pada 1 Januari 1982, kerajaan negeri Perak telah menggantikan semula nama Teluk Anson kepada nama Teluk Intan. Ia mengembalikan semula nama asalnya (hanya perkataan ‘Mak’ tidak digunakan) bagi mengembalikan identiti keaslian nama tempat itu semula.

Setelah 100 tahun, nama bandar ini dtukar kembali menjadi Teluk Intan.

Begitulah asal usul nama bandar Teluk Intan. Daripada Teluk Mak Intan kepada Teluk Anson, dan hanya setelah seabad kemudian, ia kembali menjadi Teluk Intan. Sudah tentu lebih bagus mengekalkan nama yang menggambarkan keaslian kisah setempat daripada menggunakan nama penjajah, bukan?

Jika ada masa, datanglah berjalan-jalan di Teluk Intan. Banyak juga tempat menarik di bandar ini. Selain Menara condong, anda boleh menyusuri Sungai Perak, melawat Beting Beras Basah yang penting dalam istiadat pertabalan Sultan Perak, juga menikmati panorama indah sambil menjamah makanan yang enak di sini.

Menara condong Teluk Intan.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare