mayat bertukar pocong

Gempar apabila ada penduduk mendakwa melihat kelibat pocong berkeliaran di kampung mereka. Bukan sekali, tetapi berkali-kali makhluk ini memunculkan diri pada waktu malam.

Kemunculannya mengundang rasa seram di kalangan penduduk, terutama bagi mereka yang terpaksa pulang malam dari tempat kerja, atau yang ingin berjemaah di surau. Segala aktiviti di waktu malam menjadi terhad dek kerana tidak mahu bersua muka dengan si pocong.  

Tidak dapat dipastikan daripada mana dan kenapa ia muncul. Namun mengikut kata-kata orang lama, pocong hanya akan muncul apabila tali punjut yang mengikat di bahagian kepalanya, tidak dilepaskan sewaktu dikebumikan. Seolah-olah bangkitnya si mayat ini menjadi pocong, kerana tidak aman disemadikan, dan berharap akan ada yang akan membantu melepaskan tali punjutnya.

Kisah berkaitan mayat bangkit daripada kubur menjadi pocong turut dipaparkan dalam sebuah filem dari negara seberang Indonesia. Sinopsisnya berkisar seorang lelaki yang sebelum mati mewasiatkan kepada anaknya, supaya tidak membuka tali ikatan kafan sewaktu dikebumikan. Tujuannya tidak lain, untuk bangkit kembali menjadi pocong, lantaran membalas dendam atas kematiannya.

Benarkah mayat akan bangkit daripada kubur menjadi pocong, sekiranya ikatan kain kafan tidak dibuka sewaktu dikebumikan?

Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan, namun menurut kata Abdul Razak Darus, Ketua Lajnah Pengurusan Jenazah dan Perkuburan Masjid Jamek Bandar Kajang yang sudah 15 tahun menguruskan pelbagai jenazah, dia belum pernah mendengar lagi mayat bangkit daripada kubur menjadi pocong dek kerana tidak membuka tali ikatan kafannya.

Bahkan baginya, sukar untuk diterima akal apabila seseorang yang sudah mati akan kembali bangkit, apatah lagi menjadi hantu pocong. Dalam al-Quran juga sudah jelas menyatakan, orang yang sudah mati tidak akan dapat kembali semula ke dunia.

Ini dikhabarkan oleh Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 99-100 yang bermaksud, “(Demikianlah keadaan orang kafir itu) hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku dapat berbuat kebaikan yang telah aku tinggalkan.  Sesungguhnya itu adalah dalih yang diungkapkannya sahaja. Dan di hadapan mereka ada barzakh sampai pada hari mereka dibangkitkan.”

Barzakh yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah alam kubur. Setiap manusia di sana merasai sama ada nikmat atau azab seksa, sementara menanti hari kebangkitan. Bahkan menurut Imam Mujahid dan Ibn Zaid, barzakh adalah seperti tembok besar yang menghalang orang yang sudah mati kembali ke dunia.

Justeru tambah Abdul Razak lagi, untuk mengatakan bahawa mayat yang tidak dibuka tali ikatan kafannya akan bangkit menjadi pocong, adalah satu perkara yang bertentangan dengan Islam. Bahkan turut bertentangan dengan logik akal.

Ditanya lagi bagaimana kaedah pengurusan jenazah secara tepat mengikut syariat Islam, jelasnya, apabila jenazah sudah dimandikan, mereka akan dikafankan dengan kain putih. Sebaik-baiknya bagi jenazah lelaki menggunakan tiga lapis kain putih manakala bagi jenazah wanita afdalnya dengan lima lapis kain.

Sunat menggunakan kain yang berwarna putih bersandarkan pada hadis Baginda s.a.w. “Pakailah olehmu kain yang putih kerana sesungguhnya kain putih itu kain yang sebaik-baiknya dan kafankanlah jenazah dengan kain itu.” HR Abu Daud

Seusai itu, jenazah akan diikat dengan tali di lima bahagian anggota iaitu bahagian kepala, dada, pinggang, lutut dan kaki. Tujuan diikat agar kafan yang dipakai jenazah kelihatan rapi dan kemas, di samping mengelak daripada anggota tubuh jenazah terkeluar daripada kafan tatkala diangkat menuju ke perkuburan. Ia sebagai bentuk perlindungan kepada si mati, terutama jika jenazah tersebut dalam keadaan tidak sempurna hingga mendedahkan aibnya.

Dalam syariat Islam, walaupun seseorang itu sudah mati, keperluan menjaga aib dan menghormati jenazah tetap dititik beratkan, sekalipun si mati merupakan seorang yang tidak beriman atau Islam. Kerana itu apabila menguruskan jenazah, ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan selembut mungkin supaya jenazah tidak terseksa dengan tindakan kita.

Selesai disolatkan, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Untuk mengebumikannya pula, jenazah akan dibaringkan di atas lambung kanannya dalam keadaan menghadap kiblat.

Sesudah itu, ikatan yang mengikat jenazah akan dibuka atau dilonggarkan supaya mukanya mencecah tanah. Hukum membuka ikatan ini hanya harus sahaja. Jika tidak mahu ditanggalkan pun tidak menjadi masalah. Akhir sekali, barulah mayat akan dikambus dengan tanah.

Mainan syaitan

Sementara itu dalam sunan Qubra, Imam Baihaqi menyatakan, terdapat satu hadis yang menceritakan tentang isu menguraikan ikatan kain kafan ketika dalam kubur. Namun begitu kedudukan hadis ini dilihat sebagai dhaif. Hadis tersebut berbunyi, daripada Ma’qil b. Yasar, ketika Rasulullah s.a.w. meletakkan jenazah Nu’aim bin Mas’ud di dalam kubur, Baginda melepaskan ikatannya dengan mulutnya.”

Syaikh al-Baniy setelah mendhaifkan hadis ini dalam silsilah dhaifahnya memberikan pandangan, “Namun melepas ikatan pada kafan mayat adalah suatu amalan yang sudah biasa diamalkan oleh para salaf. Oleh kerana itu ulama Hanabilah mengikuti Imam Ahmad b. Hambal.”

Penampakan pocong hanyalah helah dan mainan syaitan

Abu Daud pula berkata, “Aku bertanya kepada Imam Ahmad tentang mengurai ikatan kafan di dalam kubur, maka imam Ahmad menjawab, “Ya”. Dan berkata putera Imam Ahmad, Abdullah bin Ahmad bin Hambal, “Saudaraku meninggal ketika masih kecil, ketika mayatnya diletakkan dalam kubur dan ketika itu bapaku berdiri di pinggiran kubur berkata kepadaku, “Wahai Abdullah lepaskanlah ikatannya, maka aku pun melepaskan ikatan kafannya.”

Dalam Majmu’ Fatawa, ketika Syaikh Ibnu Utsaimin ditanya tentang melepaskan ikatan pada kain kafan dalam kubur, beliau menjawab, “Dalam melepaskan ikatan terdapat atsar daripada sahabat Abdullah b. Masu’d katanya, “Jika kalian memasukkan mayat dalam kubur lepaskanlah ikatannya.”

Manakala Syaikh b. Baz berpendapat, melepaskan ikatan mayat dalam kubur lebih afdal, sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat r.a.

Oleh yang demikian, anggapan masyarakat apabila ikatan kain kafan yang tidak dibuka atau dilepaskan, menyebabkan mayat bangun menjadi pocong, adalah satu anggapan yang sama sekali tidak ada asasnya yang kukuh. Dan itu benar-benar merupakan satu tindakan yang sesat lagi menyesatkan serta bidaah yang begitu besar sekali.

Lalu bagaimana pula dengan kelibat pocong yang pernah dilihat oleh sebahagian masyarakat? Itu tidak lain adalah helah dan tipu daya yang memang sengaja direncanakan oleh para jin dan syaitan bagi menyesatkan manusia.

Buktinya apabila ada yang percaya bahawa mayat yang tidak diikat kain kafan menjadi pocong, bermakna mereka (jin dan syaitan) ini telah berjaya menipu dan memesongkan akidah manusia. Nauzubillah min zalik.

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLink