GAMBAR: Abd Razak Aid

Bakat itu ibarat daging. Produktiviti pula ibarat darah panas yang terus menerus mengalir menyegarkan daging.

Semua insan dilahirkan berbakat, bezanya ada yang lebih dan ada yang kurang. Ada berbakat semula jadi, ada pula yang diasah bertubi-tubi.

Begitu juga dengan produktiviti. Semua insan dilahirkan produktif, pada tahap yang berbeza-beza. Ramai yang bina daya cipta, daya usaha dan daya kekal tinggi untuk setanding kehebatan dengan lain-lain insan.

Itulah yang dirandaukan oleh MPM-MPC sempena Webinar Bakat dan Produktiviti Pemacu Kemakmuran, pada Sabtu, 20 November 2021, pada jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari, di Dewan Produktiviti, MPC di Petaling Jaya. Ia dihadiri lebih 50 peserta secara fizikal dan lebih 200 secara dalam talian menerusi facebook.

Yang amat ketara dari webinar ini ialah peningkatan nafsu dan selera dalam kalangan bumiputera memperkayakan bakat serta mempertingkatkan produktiviti mereka. Jarang sekali sebelum ini masyarakat pribumi dalam kalangan Orang Asli misalnya, terlibat sama dalam webinar seperti ini.

Tak sering kita dengar sebaik saja webinar selesai, penganjur, agensi terbabit dan peserta terus duduk berbincang pelan tindakan dan projek perintis untuk mereka laksanakan segera secara bersama. Tapi itulah yang terjadi di webinar ini. Pada hemat saya, semua keajaiban itu adalah simbolik kepada keazaman bumiputera membina naratif baharu untuk menjadi komuniti yang berbakat dan produktif.

Baca artikel berkaitan: Mereka juga warganegara tapi semacam bukan orang kita gayanya

Walaupun tidak dilafazkan atau dizahirkan, dari “takeaways” yang dibekalkan sebagai ‘goodies’ untuk peserta bawa pulang dari webinar ini, seperti mana lakaran di bawah ini, jelas sekali ia adalah manifestasi kepada naratif yang baharu dibina itu:

• Membina naratif baharu dalam kalangan bumiputera betapa pentingnya mereka memiliki bakat terbilang dan tahap produktiviti yang tinggi.
• Dengan kadar segera MPM-MPC akan membangunkan satu atau dua projek perintis yang mampu dilaksanakan segera dan mampu mencapai keberhasilan yang disasarkan.
• Menyasarkan untuk membantu negara mencapai paras HDI (Human Development Index) pada paras minimum 0.950, untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia
• Untuk membangunkan Direktori Bakat dan Produktiviti, bermula dengan mereka yang menyertai webinar ini (secara fizikal dan dalam talian).
• Untuk MPM-MPC mengendalikan pelbagai program pembangunan bakat sebagai “Certified/Chartered Programs”, yang diiktiraf di seluruh dunia, mengikut bidang atau profesyen masing-masing.
• Menyasarkan Malaysia menjadi “The Global Nation” dalam program berkaitan pembangunan bakat dan produktiviti, serta menabur insannya yang berbakat sebagai diaspora di merata pelosok dunia.
• Mengadakan persidangan berkala, dengan Persidangan Tahunan Bakat-Produktiviti sebagai acara kemuncaknya.

Andai kata meraka mengangkat bakat itu ibarat dagingnya, pastikan mereka mahu daging mereka kekal segar dan berkualiti sepanjang zaman.

Andai kata mereka terima bahawa darahnya wajar kekal panas mengalir dalam tubuhnya, selagi itulah tahap produktivitinya akan kekal pada paras produktif yang optimum sepanjang masa.

Dari wajah berseri dan bersinar yang terpapar dalam kalangan peserta webinar itu, MPM-MPC penuh yakin, bumiputera, sama ada sebagai usahawan mahupun tenaga kerja, siapa pun jua mereka, termasuk masyarakat Orang Asli dan usahawan muda yang ghairah meneroka dunia keusahawanan, mereka semua telah melakar satu naratif baharu. Satu naratif yang mengaitkan bakat dan produktiviti sebagai tiang seri kepada kemakmuran yang ingin dibina.

Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram