Indeks Harga Makanan dunia yang disediakan FAO PBB menyaksikan berlaku peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding Oktober tahun lalu. GAMBAR hiasan: Abd Razak Aid

CERITA ayam bukan cerita Malaysia sahaja. Seluruh dunia kini mengeluh mengenainya. Baik telur mahu pun dagingnya. Atau lebih tepat, harga makanan umumnya.

Terbaharu roti jenama Gardenia. Pengeluarnya tak mampu lagi serap kos, lalu dipindah kepada pengguna.

Kira-kira sebulan lalu, CEO syarikat yang membekalkan ayam terbesar di United Kingdom (UK) sudah memberi amaran peningkatan harga.

Selain kos makanan ternakan meningkat lebih 15 peratus, terdapat beberapa isu lain di UK yang mengundang peningkatan harga – antaranya kenaikan harga bahan bakar dan masalah pekerja (akibat Brexit).

Cuma untuk membanding dengan negara maju seperti UK adalah tidak adil kerana meningkat macam mana pun, harganya dalam mata wang pound sterling masih rendah berbanding kuasa beli dalam mata wang negara membangun.

Namun pada masa sama, kita tidak boleh lari daripada menyentuh bahawa peningkatan harga makanan adalah isu global.

CNN Business melaporkan pada tahun ini, kos sajian Hari Thanksgiving yang diraikan warga Amerika Syarikat (AS) adalah 14 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Begitu juga perbelanjaan untuk Hari Krismas yang akan disambut sebulan lagi, ia akan menjadi Krismas termahal.

Kanada, misalnya merekodkan peningkatan harga daging sebanyak 9.5 peratus, manakala makanan 3.9 peratus berbanding September 2020.

Itu di negara maju yang memberi subsidi besar kepada sektor pertanian – kesannya lebih dirasai bagi negara membangun dan miskin.

Sebab itu, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), agensi di bawah PBB, indeks harga makanan dunia kini berada pada paras tertinggi sejak 2011.

Indeks Harga Makanan yang disediakan FAO.

Harga makanan global meningkat dan terus meningkat sejak beberapa bulan lalu hinggakan mencecah 30 peratus berbanding Oktober tahun lalu, kata FAO dalam Indeks Harga Makanan terbitannya 4 November lalu.

Kajian FAO juga menunjukkan harga gandum meningkat 5 peratus manakala harga minyak masak sama ada sawit, soya atau jagung melonjak hampir 10 peratus.

Perlu diingat, bijirin import ini juga lah jadi makanan ayam.

Di Singapura, South China Morning Post melaporkan bagaimana penjual sayur mengeluh peningkatan harga kailan dari China lebih mahal hampir 40 peratus daripada harga biasa.

Puncanya akibat cuaca ekstrem di China tetapi tak terkecuali sayur yang diimport dari Malaysia dan Thailand juga melonjak, kata seorang peniaga yang ditemu bual media berkenaan.

https://www.fao.org/worldfoodsituation/foodpricesindex/en/

Seperti Malaysia, negara jiran juga melaporkan peningkatan ketara harga bahan makanan khususnya telor dan ayam. / Tangkap layar laporan CNN Indonesia 23 Nov 2021.

FAO sudah memberi amaran dan biasalah, hal ilmiah kurang mendapat sambutan berbanding cerita siakap empat angka, sotong kayangan dan lebih parah kisah Sajat.

Baca: Harga ayam akan dikawal jika terus meningkat – KPDNHEP

Siasatan ‘siakap kayangan’ diserah kepada Timbalan Pendakwa Raya – KPDNHEP

Roti Gardenia naik harga mulai 1 Disember

Punca peningkatan harga makanan disebabkan pelbagai faktor menurut FAO dan badan antarabangsa lain.

Cuaca ekstrem, gangguan rantaian bekalan seperti kekurangan tenaga buruh dan COVID-19 antara punca.

Tetapi ada satu faktor paling penting iaitu peningkatan harga bahan bakar dunia.

Apabila harga petrol dan diesel dunia meningkat, ia sangat memberi impak kepada kos pengangkutan (lori mahu pun kapal) dan juga produk petrokimia (baja dan racun) hinggakan membawa kepada peningkatan harga makanan.

Orang Malaysia tidak memberi perhatian sangat hal ini kerana petrol RON95 yang jadi pilihan majoriti dikawal dan kekal pada RM2.05 seliter.

Begitu juga diesel, tetap RM2.15 seliter walau harga minyak mentah dunia meroket sejak setahun lalu.

Baca: Seludup petrol, penyeludup sampai buat paip minyak rentas negara

Lagi kes cuba seludup minyak masak peket ke Golok

Pengekalan harga termasuk gas memasak berlaku bukan sendirinya tetapi menerusi subsidi yang mencecah berbelas malahan puluhan billion ringgit setahun.

Semoga RON95 dan diesel kekal harganya di Malaysia.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram