Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengasas Rumah Prihatin, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMUDAHAN internet tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu sama ada di bandar atau milik orang kaya sahaja.

Sebaliknya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kemudahan internet pada zaman ini bukan sahaja disifatkan sebagai hak asasi manusia tetapi juga asas bagi menentukan kesempurnaan kualiti kehidupan seseorang.

Sehubungan itu, Annuar berkata, kemudahan internet perlu diletakkan pada keutamaan tertinggi dalam sesuatu perancangan negara.

“Sebab itu kita kena ada keazaman politik, kesediaan menyediakan bajet dan usaha mengatasi masalah yang lazimnya boleh diketepikan begitu sahaja sekali gus membuatkan kerajaan memperkenalkan Pelan Jaringan Digital Negara (Jendela) untuk memastikan tidak ada kawasan atau rakyat yang tak dapat capaian internet.

“Cabaran kepada negara ketika ini adalah untuk memastikan liputan keterhubungan itu menyeluruh, kalau boleh 100 peratus kawasan berpenduduk sekurang-kurangnya mesti ada capaian internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput dalam program Malaysia Hari Ini di saluran TV3, pagi tadi.

Baca artikel berkaitan: Teknologi informatik visual perlu dimanfaatkan semua sektor, termasuk di pedalaman – Annuar

Cabaran seterusnya bagi negara, kata Annuar adalah soal kualiti dan aplikasi.

Kata beliau, meningkatkan kualiti jalur lebar menjadi perancangan utama negara dan bagaimana internet bukan sahaja boleh mengubah kehidupan tetapi kegiatan ekonomi dalam negara.

“Sekarang orang bercakap soal kualiti, kalau ada keterhubungan tetapi internet perlahan dan sebagainya, maka aspek kedua negara rancang meningkatkan kualiti kepada perkhidmatan jalur lebar.

“Kalau dah ada kemudahan bagaimana rakyat menggunakannya, bagaimana pula aplikasi teknologi baharu terutama ini tentang internet segalanya (IoT), kecerdasan buatan (AI), robotik, dron dan sebagainya yang akan merubah bukan sahaja cara hidup hatta kegiatan ekonomi dalam negara.

“Satu spektrum luas yang negara mesti rancang dan paling penting sepantas mana kita lakukannya,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram