lelaki
Gambar hiasan

MAJORITI mereka yang terlibat dengan jenayah tahun lalu adalah golongan lelaki menerusi dapatan diterbitkan Jabatan Perangkaan dalam laporan Statistik Jenayah Malaysia 2021.

Statistik itu menunjukkan peratus penagih dadah lelaki berjumlah 95.3 peratus, tangkapan kesalahan rasuah lelaki 84.6 peratus, kanak-kanak lelaki yang terlibat jenayah 90.5 peratus manakala peratus kemasukan banduan sabitan bagi lelaki 90.3 peratus.

Laporan berkenaan memuatkan lapan statistik terpilih iaitu jenayah indeks; dadah; rasuah; alam sekitar; kesalahan trafik; jenayah siber; maritim dan pemulihan.

Penyusunan statistik itu adalah berpandukan kepada konsep dan garis panduan daripada International Classification of Crime for Statistical Purpose Version 1.0 yang diterbitkan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, tadbir urus keselamatan terus diperkukuh untuk memastikan negara kekal aman dan ketenteraman awam terpelihara.

Kata beliau, ia dapat dilihat pada tahun 2020 apabila kes jenayah menurun 21.4 peratus kepada 65,623 kes berbanding 83,456 tahun sebelumnya.

Mohd. Uzir memaklumkan, kes jenayah itu terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan kedua-dua jenis jenayah itu menurun pada 2020.

“Jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus pada 2020 kepada 13,279 kes manakala jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes pada tempoh sama.

“Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah membataskan pergerakan individu.

Baca artikel berkaitan: ‘Stalking’ dijadikan kesalahan jenayah, pindaan undang-undang dibentang Disember

“Merumuskan keseluruhan situasi jenayah pada tahun 2020, majoriti mereka yang terlibat dengan jenayah adalah lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, Mohd. Uzir berkata, Seremban merekodkan peratusan penurunan tertinggi pada 2020 iaitu 40.6 peratus kepada 325 kes berbanding 549 tahun sebelumnya.

Beliau memaklumkan, ini diikuti Johor Bahru yang turun 36.7 peratus dan Melaka Tengah susut 26.3 peratus.

“Dari segi jenayah harta benda pula, Seberang Perai Tengah mencatatkan penurunan tertinggi iaitu 35.8 peratus pada 2020 kepada 982 kes berbanding 1,529 pada tahun 2019.

“Ini diikuti Melaka Tengah yang turun 32.6 peratus dan Kuala Muda sebanyak 29.4 peratus,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram