Mohd Zuki ALi berucap pada sesi webinar Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini.

PENJAWAT awam perlu menjiwai aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dalam melaksanakan program yang telah dirancang oleh kerajaan supaya kepentingan dan kemaslahatan rakyat dapat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam sesi webinar Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini, beliau berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai terjejas termasuk kanak-kanak menjadi anak yatim piatu, selain ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) mahupun pelarian yang juga berada dalam kesulitan.

Dalam hal ini, katanya, peranan penjawat awam perlu diperkasa dengan penuh integriti dan amanah supaya seluruh rakyat yang terjejas akibat pandemik mendapat manfaat daripada pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif yang disediakan kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM530 bilion.

Pada sesi webinar itu, Mohd Zuki berkata semangat Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah retorik atau slogan politik semata-mata.

“Ia merupakan semangat yang diterapkan oleh kerajaan dalam pentadbiran negara, dengan harapan kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik dapat dipelihara seperti sebuah keluarga besar,” katanya.

Beliau berkata lembayung Keluarga Malaysia adalah bersandarkan kepada tiga gabungan nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Menurut Mohd Zuki, perdana menteri juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah payung Keluarga Malaysia antaranya Rumah IKRAM Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia.

Baca: Perdana Menteri lancar Pas Keluarga Malaysia

Keluarga Malaysia mampu bawa negara berdaya saing

Perdana menteri juga, katanya telah mengarahkan supaya setiap kementerian menyegerakan pelaksanaan sekurang-kurangnya tiga program dan inisiatif yang bermatlamat untuk membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat akibat pandemik sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari kerajaan baharu.

Bagi memantau pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang telah dirancang di bawah lembayung Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi KPI, katanya.

“Untuk melaksanakan semua program dan inisiatif yang telah dirancang oleh kerajaan bagi membantu Keluarga Malaysia, tanggungjawab besar terletak di atas bahu kita semua sebagai penjawat awam,” katanya.

Mohd Zuki berkata menerusi prinsip FASTER, penjawat awam perlu membuang mentaliti ‘kau-kau, aku-aku’ sebaliknya bekerjasama erat dalam sesebuah organisasi, tidak melewatkan permohonan tanpa sebab munasabah, serta memanfaatkan teknologi digital dalam memberikan perkhidmatan.

Prinsip FASTER merujuk kepada ‘Flat, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient’.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram