AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

POLIS Johor menafikan dakwaan kemungkinan akan berlaku kejadian ragut melibatkan rakyat Singapura sebaik sahaja sempadan Malaysia-Singapura mula dibuka secara berperingkat mulai Isnin ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan-tindakan pencegahan jenayah secara agresif bagi membanteras kegiatan jenayah dan memastikan negeri itu selamat didiami serta dikunjungi.

Secara keseluruhan, beliau berkata, kedudukan jenayah di Johor dalam keadaan terkawal dengan statistik menunjukkan trend jenayah di Johor telah menurun.

Justeru, Ayob Khan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai apa juga maklumat yang ditularkan dan menyemak dahulu kesahihannya.

“Kadar jenayah indeks di negeri Johor bagi tahun 2021 telah menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes bersamaan 39.67 peratus di mana jenayah harta benda mencatatkan penyusutan 41.37 peratus manakala jenayah kekerasan turun 32.21 peratus.

“Kes samun ragut tahun ini pula turun sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus berbanding tahun lalu.

“Kes curi motosikal juga menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus berbanding tahun 2020,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: Sindiket pengedaran dadah RM1.1 juta tumpas, suami isteri ditahan – Ayob Khan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu kenyataan palsu yang tular di media sosial berkaitan kemungkinan berlaku kejadian ragut jalanan di Johor melibatkan rakyat Singapura apabila sempadan mula dibuka.

Kenyataan yang tular itu mengingatkan kepada rakyat republik berkenaan untuk tidak datang ke Johor Bahru kerana terdedah kepada jenayah ragut.

Sehubungan itu, Ayob Khan menegaskan akan mengambil tindakan kepada individu yang menyebarkan kenyataan palsu tersebut.

“Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram