Sebahagian daripada pekerja-pekerja menolak troli beisi bungkusan roti di Kilang Gardenia Bakeries, Puchong. GAMBAR: Abd Razak Aid

BUKAN sahaja ayam dan sayur-sayuran naik harga, pengguna pula terpaksa berdepan peningkatan harga roti mulai 1 Disember ini.

Ia selepas syarikat pengeluar roti terkemuka negara, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. mengumumkan kenaikan harga bagi produk berasaskan roti keluarannya antara 10 hingga 45 sen.

Gardenia Bakeries (KL) dalam kenyataan memaklumkan terkesan akibat kos tenaga dan bahan mentah yang kian meningkat di samping kekangan rantaian bekalan.

Syarikat itu memberitahu telah berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah selama ini.

Namun begitu, Gardenia Bakeries (KL) berkata peningkatan ketara dalam kos-kos pengeluaran dan bahan yang berada di luar kawalannya telah meletakkan syarikat itu dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga bagi produk-produknya.

“Semakan harga ini melibatkan produk-produk dalam keadaan tertentu yang mengekalkan harga sama selama bertahun-tahun termasuk rangkaian roti Gardenia Original Classic.

“Harga produk lain yang disemak semula juga meliputi rangkaian Gardenia Delicia, ban, roti krim, mufin, Gardenia Twiggies, wafel dan Gardenia NuMee.

Baca artikel berkaitan: Gardenia sahkan kenaikan harga enam produk 1 Jun ini

“Semakan harga ini dilaksanakan ekoran kenaikan harga bahan mentah antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bakeries (KL), Koh Chin Huat kepada peruncit mengenai semakan semula harga itu tular dalam laman sosial.

Dalam surat tersebut, harga baharu yang ditetapkan kepada pengguna bagi sebuku Gardenia Original Classic 400 gram adalah RM2.80 iaitu peningkatan sebanyak 30 sen.

Gardenia Original Classic Jumbo 600 gram pula kini berharga RM4 naik daripada RM3.55, manakala harga Gardenia Bran & WheatGerm 400 gram akan dinaikkan kepada RM2.90 daripada RM2.50 ketika ini.

Gardenia Toast’em dan Gardenia Delicia pula meningkat daripada RM4.25 kepada RM5 iaitu kenaikan sebanyak 75 sen.

Menurut Gardenia Bakeries (KL) kenaikan adalah langkah terakhir setelah semua usaha telah digembleng terlebih dahulu.

“Gardenia KL akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang kami.

“Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami selana ini serta berharap anda memahami keputusan sukar yang terpaksa kami laksanakan,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram