Kelonggaran berperingkat Prosedur Operasi Standard ( SOP ) kawalan Covid 19 telah menyemarakkan semula pelbagai aktiviti dalam industri kreatif.

Setelah lebih dua tahun tertunda, peluang ini turut dimanfaatkan oleh pihak DBKL melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan yang merangka pelbagai acara bagi merancakkan acara hiburan untuk dinikmati oleh warga kota.

Setelah penganjuran acara secara langsung diaktifkan berpandukan SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN, DBKL telah merancang beberapa acara sebelum ini seperti KL Big Band, Konsert Rockestra Nostalgia dan KL Car Free Morning.

Pada 27 dan 28 November ini pula akan berlangsung acara KL Urban Youth Festival 2021 yang diadakan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

“Ianya satu pengisian bersempena sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur pada 1 Februari depan bagi memperingati ulang tahun ke 50 Tahun pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada tahun 1972.

“Program yang dijalankan ini bakal menghimpunkan aktiviti-aktiviti menarik seperti sukan ekstrem, eSports, pertandingan Beatbox & Breakdance, bengkel keusahawan, kelas muzik, bengkel seni kanak-kanak dan banyak lagi,” kata Azmir Ahmad, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL.

Azmir Ahmad, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL.

Menurut Azmir, penganjuran ini antara inisiatif DBKL dalam menyediakan ruang aktiviti santai buat warga kota dan pengunjung Taman Botani Perdana, selain membantu menggerakkan semula ekosistem penganjuran acara para penggiat industri ini.

Acara yang bakal berlangsung selama dua hari ini akan bermula seawal pagi hingga malam membariskan aktiviti yang sinonim dengan kluster dan sub budaya anak muda.

Pada hari Sabtu, ditampilkan aktiviti utama seperti segmen Urban Showdown (Hip-Hop), FIFA21 Youth Championship (eSports) dan Battle at The Botanic (X-Games).

Ia akan disulami dengan pelbagai persembahan menampilkan artis utama seperti Bungaisme dan Strikeout. Pada malamnya pula akan diteruskan dengan acara KL Street Jam yang bakal menampilkan artis-artis seperti Caramelt Band, Kristal, Mayabayu dan Fugo.

Bungaisme dan Margasatwa yang akan membuat persembahan.

Hari kedua iaitu Ahad pula diteruskan dengan acara Aerobikthon, pertandingan Digimon V-Pet, pertandingan Cosplay dan persembahan hasil bengkel KL Big Band. Turut dihiburkan dengan persembahan dari Rina Hime dan TIM.

Pengunjung akan terus dihiburkan dengan persembahan penutup festival ini iaitu KL Urban Stage yang menampilkan persembahan hebat dari Monoloque, Aru Peruzza, Banyak Bunyik Republik dan Margasatwa sehingga jam 11.00 malam.

Penganjuran KL Urban Youth Festival 2021 akan menjadi pusat aktiviti seni sehenti yang dipenuhi pelbagai acara menarik untuk warga kota seisi keluarga. Ianya disediakan secara percuma oleh DBKL. Untuk menghadiri program ini, orang ramai perlu mendaftar di www.tiny.cc/urbanyouth2021

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram