Gambar Hiasan.

HANYA disebabkan cinta warga asing didakwa dari Amerika Syarikat (AS) menerusi Instagram, seorang ibu tunggal terpaksa menanggung kerugian sehingga RM85,700 setelah menjadi mangsa ‘love scam’.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ibu tunggal berusia 59 tahun dari Masjid Tanah, Melaka itu telah mengenali suspek menerusi laman Instagram menggunakan akaun Ahmed Hashima didakwa dari AS.

Menurut beliau, mangsa yang tidak bekerja itu kemudiannya telah berhubung dengan suspek di aplikasi WhatsApp.

Arshad memaklumkan, mangsa kemudiannya diberitahu akan mengirim hadiah mewah sebagai tanda persahabatan.

“Lelaki itu telah memberitahu mangsa akan mengirim hadiah mewah seperti beg tangan, kasut, beg dompet, jam tangan, rantai dan gelang emas serta wang AS$15,000.

“Pada 2 Ogos lalu, mangsa kemudiannya telah menerima mesej Whatsapp yang didakwa daripada Pos Laju Kuala Lumpur mengatakan barangnya telah sampai.

“Namun begitu, mangsa diminta untuk membuat pembayaran kerana barang berkenaan mempunyai masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Akibat ‘Love Scam’ ibu tunggal kerugian hampir RM1 juta

Arshad berkata, mangsa kemudiannya membuat pembayaran secara berperingkat dari Ogos hingga Oktober lalu ke dalam empat akaun berbeza berjumlah RM85,700.

Walaupun bayaran telah dilakukan, mangsa bagaimanapun masih belum menerima barangan tersebut.

“Malah, Ahmed Hashima itu masih meminta wang daripadanya dan mangsa mengesyaki telah diperdaya seterusnya membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram