PELAKON dan pengacara terkenal, Janna Nick disahkan menghidap penyakit vertigo baru-baru ini sudah diberi pelepasan untuk keluar dari hospital atas alasan tuntutan kerja.

Menerusi hantaran story di laman Instagram, Janna berkongsi bahawa kerjayanya sebagai seorang pelakon melibatkan ramai orang dan tidak mahu menyusahkan banyak pihak.

“Minta pelepasan dari hospital. Sebab kerja kita ini melibatkan ramai orang. Tak sampai hati nak buat orang tertunggu,” tulisnya.

Menurut pemilik nama Nurul Jannah Muner,26, doktor turut menasihatkan dirinya untuk berehat beberapa hari lagi sebelum kembali bekerja.

“Doktor cakap, vertigo ini biasanya bagi cuti sakit lima ke tujuh hari. Saya cakap kerja saya, cuti sakit tak laku doktor.

“Maka lepas lah saya keluar.. terus bergerak ke set,” luahnya.

Janna turut sedar ramai yang mengambil berat tentang keadaan kesihatannya, namun dia terpaksa membuat keputusan kembali ke lokasi penggambaran selepas tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tahu ramai ambil peduli. ‘Tolong rehat, jangan kerja teruk sangat’.

“Saya bukan kerja secara berterusan. Tapi ini lah kesan daripada PKP1, PKP2 dan sebagainya. Drama yang sepatutnya menjalani pengambaraan tiga bulan dah jadi tujuh bulan. Bayaran tetap sama. Kru tetap kena habiskan kerja tersebut,” katanya.

Tambahnya, dia tidak boleh bersikap mementingkan diri dan perlu menyambung semula pekerjaan yang tertangguh.

“Kita tak boleh pentingkan diri. Nak fikirkan diri sendiri. Kena berkorban emosi dan fizikal. Jadi semua orang boleh sambung kerja yang seterusnya.

“Saya cuma harap tiada lagi sekatan supaya perkara macam ini tak terjadi lagi,” luah Janna.

Terdahulu, bekas pengacara Melodi itu dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu selepas disahkan menghidap vertigo.