PENGARAH terkenal Syamsul Yusof, 37, mengingatkan kepada mereka yang ingin mengkritik sesuatu karya anak seni perlu mempunyai ilmu dalam bidang berkenaan.

Malah, Syamsul atau Moh. Syamsul Mohd. Yusof menyuarakan pendapat tersebut kepada pengguna laman sosial terutamanya YouTuber agar tahu membezakan kritikan dengan hinaan.

“Saya sudah lama mengarah dari generasi sebelum ini lagi dan ramai yang seangkatan saya sudah memperlahankan kerjaya.

“Sama juga dalam mengkritik filem, orang bercakap filem pun sudah berbeza. Apatah lagi sekarang era media sosial dan semua perkara nak komen. Bagi saya tak salah, tapi sesuai atau pun tidak dengan konteks.

“Semua orang boleh kritik, tapi kena ada ilmu. Perlu tahu membezakan kritikan dan hinaan. Perlu bijak dalam mengkritik, jika orang tidak suka filem saya…saya okay saja.

“Saya bukan nak cakap saya bagus, tapi saya ada ilmu sendiri. Seseorang yang berjaya, pasti ada yang tak suka atau ‘haters’, itu perkara biasa. Jadi kuatkan mental dan fokus pada karya,” katanya.

Syamsul turut menyebut antara beberapa pengarah yang cukup dikaguminya iaitu Erma Fatima, Datuk Paduka Shuhaimi Baba dan Khabir Bhatia atas kualiti kerja yang dipersembahkan kepada penonton.

“Saya mengagumi Erma Fatima dan Shuhaimi Baba sebagai pengarah wanita yang sangat berilmu. Saya memang tabik mereka!

“Nak jadi pengarah bukan satu kerja yang mudah. Kalau mereka boleh buat, takkan saya tak boleh.

“Mereka antara pengarah hebat yang saya suka dan saya sudah kaji filem mereka. Saya mengkaji banyak cabang. Saya bukan jenis yang tengok sekejap saja,” ujarnya lagi.

Syamsul berkongsi perkara itu pada sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal.

Untuk rekod, Syamsul adalah pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Syamsul turut mengulangi kejayaan sama pada FFM 24 menerusi filem KL Gangster dan FFM 28 bagi filem Munafik.

Lebih membanggakan Syamsul juga memenangi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-57 menerusi filem Munafik.

Filem arahannya, Munafik 2 menjadi filem tempatan nombor satu apabila meraih kutipan pecah panggung RM48 juta.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.

Sesi itu dikendalikan moderator yang juga bekas wartawan Melodi, Nik Syafiq dan Aswad Jalil (bekas wartawan hiburan HLive).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram