Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. / Gambar media sosial

PENJAWAT awam perlu berminda terbuka dan positif dalam menerima serta melaksanakan pembaharuan dasar atau peraturan kerajaan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

“Pembaharuan dan perubahan adalah sangat penting terutama dari segi amalan dan prosedur bekerja, supaya perkhidmatan kepada rakyat dan sektor perniagaan tidak terjejas, malah boleh dipertingkatkan lagi.

“Perkhidmatan awam hari ini perlu bergerak secara tuntas dan strategik dalam mendepani cabaran pasca COVID-19,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara maya hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Panduan Perkhidmatan Pelanggan Sektor Awam terbitan Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar JPA sebagai rujukan kepada penjawat awam yang bertugas di kaunter perkhidmatan setiap kementerian serta agensi kerajaan.

Susulan Kempen Jom Semak yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada 25 Okt lepas, Mohd Khairul Adib berkata semua kementerian dan agensi kerajaan perlu bersikap lebih kritikal dalam membuat semakan terhadap peraturan sedia ada agar tidak membebankan rakyat.

“Ia bertujuan mewujudkan sistem peraturan yang berkesan, cekap dan bertanggungjawab dalam menyokong usaha merealisasikan matlamat pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Penjawat awam perlu jiwai aspirasi Keluarga Malaysia – KSN

Kempen Jom Semak adalah kesinambungan kepada pelaksanaan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan melalui Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2021 bertajuk Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 22 Jun lepas.

Menyentuh pengurusan rekod perkhidmatan, Mohd Khairul Adib berkata, penjawat awam perlu menguruskan rekod tersebut dengan baik bagi mengelak isu berkaitan urusan persaraan pada masa hadapan selain perlu mengemas kini maklumat peribadi masing-masing menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).

“Ketua jabatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan semakan Buku Kenyataan Perkhidmatan dengan penjawat awam dibuat secara berkala. Janganlah menganggap tugas yang diamanahkan ini sebagai tugas yang remeh-temeh,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram