GAMBAR: Abd Razak Aid

SELEPAS empat hari kes baharu COVID-19 menunjukkan peningkatan sehingga melebihi paras 6,000 semalam, hari ini jangkitan kembali menurun.

Penularan seluruh negara merekodkan penurunan sebanyak 643 kes kepada 5,501 jangkitan, hari ini.

Jumlah tersebut dilaporkan selepas empat hari trend peningkatan kes dikesan.

Kali terakhir negara merekodkan kes di bawah angka 5,000 adalah pada Isnin lalu yang menyaksikan sebanyak 4,885 jangkitan dikesan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kumulatif kes COVID-19 telah pun mencecah 2.614 juta setakat ini.

“Pada 26 November 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 5,501 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,614,480 kes.

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya dalam media sosial.

Baca artikel berkaitan: Kes naik lagi catat 6,144, kebolehjangkitan turun 0.99

Berdasarkan rumusan kes COVID-19 dikongsikan Dr. Noor Hisham, trend kes dalam tempoh tujuh hari di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus.

Purata kes yang dilaporkan dalam tempoh berkenaan pula adalah sebanyak 5,635 jangkitan.

Bagaimanapun, kebanyakan negeri menyaksikan trend peningkatan dengan kes di tujuh negeri atau wilayah menurun.

Sarawak mencatatkan penurunan kes tertinggi dalam tempoh satu minggu iaitu sebanyak 33 peratus dengan purata kes berjumlah 220.

Ini diikuti Negeri Sembilan yang susut 21 peratus dengan purata 184 kes manakala Terengganu pula turun 15 peratus purata kes 223.

Labuan menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan trend peningkatan sepanjang tempoh tujuh hari iaitu sebanyak 36 peratus dengan purata 19 kes.

Putrajaya turut merekodkan lonjakan 13 peratus menerusi 61 purata kes diikuti Pulau Pinang yang naik lapan peratus dengan purata 291 jangkitan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram