tabung haji

LEMBAGA Tabung Haji membuat keputusan melanjutkan tempoh penukaran status akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa daripada 1 Disember ini kepada 1 Mei 2022 susulan maklum balas dan permintaan ramai.

Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Tugas Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji, Mohamed Ameen Abd. Wahab berkata, Tabung Haji amat peka dengan maklum balas pendeposit yang masih memerlukan masa untuk penukaran status akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa.

Menurut beliau, keputusan melanjutkan tempoh penukaran status itu bagi memberi peluang kepada pendeposit berumur 18 tahun ke atas dan penjaga yang tidak berkesempatan sebelum ini untuk melakukan proses tersebut di cawangan Tabung Haji berdekatan.

Mohamed Ameen berkata, pertukaran akaun kanak-kanak ke dewasa perlu dilaksanakan seperti termaktub dalam terma dan syarat pembukaan akaun Tabung Haji.

Beliau memaklumkan, penjaga hanya boleh mentadbir akaun kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun sahaja.

“Penjaga hendaklah menukar akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa apabila kanak-kanak tersebut mencapai umur 18 tahun.

Baca artikel berkaitan: 700,000 pemegang akaun kanak-kanak TH belum tukar status

“Langkah penukaran ini diambil bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tabung Haji sebelum ini memaklumkan hampir 700,000 pendeposit yang memegang status akaun kanak-kanak tetapi telah melebihi umur 18 tahun masih belum bertukar kepada akaun dewasa.

Pemegang akaun kanak-kanak yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing dengan sendirinya bermula 1 Disember ini.

Walau bagaimanapun, Mohamed Ameen berkata, Tabung Haji akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun pada 1 Mei 2022.

Katanya, status hubungan akaun di antara penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di Tabung Haji akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan.

“Pendeposit perlu memastikan akaun Tabung Haji kekal berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat menyimpan di Tabung Haji seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan boleh juga turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram