PEMERGIAN Siti Sarah pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19 pastinya meninggalkan kesan mendalam buat Shuib apabila isteri yang tercinta pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya.

Kehilangan itu telah meninggalkan rasa sepi dan kosong buat Shuib sehinggakan dia mendengar semula rakaman lagu ‘Tinggalkan Diriku’ selepas enam hari pemergian ibu kepada empat cahaya mata itu.

“Enam hari selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah, saya mendengar rakaman lagu ‘Tinggalkan Diriku’ yang dirakamkan ketika sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah yang diadakan pada 2018,” ujar Shuib.

Kata pemilik nama Shahmira Muhamad,37, dia mula sebak apabila mendengar alunan lagu tersebut yang dianggap amat istimewa seakan isteri tercintanya sudah tahu apa yang bakal terjadi.

“Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti. Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang,” katanya.

Sebagai tanda cinta buat bidadari syurganya, Shuib mengabadikan lagu Tinggalkan Diriku hasil ciptaan Aidit Alfian ke dalam sebuah video muzik (MV) dengan menyelitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah.

“Dalam video muzik ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk ‘ditidurkan’.

“Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan tersebut adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak,” tambah Shuib.

Lagu Tinggalkan Diriku ini mula dirakamkan pada 2002 dan dipasarkan pada 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.

Tinggalkan Diriku sudah berada di semua platform digital dan MV disiarkan melalui YouTube Shuib Channel bermula hari ini (Jumaat).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram