Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sah tidak akan meletakkan calon dan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bulan depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Menurut Muhyiddin, keputusan tidak bertanding itu mengambil kira perbincangan bersama Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Bagaimanapun, Muhyiddin memaklumkan, Bersatu akan tetap membantu GPS bagi memperoleh kemenangan dalam PRN Sarawak.

“Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat.

“Kita bincang di peringkat parti yang kita tidak akan bertanding. Kita dah buat keputusan. Yang penting, kita nak tentukan parti di Sarawak menang dengan cemerlang,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak Ke-12.

Baca artikel berkaitan: PRN Sarawak: Pengundian 18 Dis, penamaan calon 6 Dis

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pula ditetapkan pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Setelah darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022

Darurat ini ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Semalam, GPS mengumumkan akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN dalam PRN berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram