JDT antara pasukan kelab yang semakin mendapat perhatian di rantau Asia. - GAMBAR: Twitter MFL

KERAJAAN Johor bercadang mengumumkan cuti khas peristiwa sekiranya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merangkul Piala Malaysia dalam perlawanan akhir menentang Kuala Lumpur, Selasa depan.

Memetik laporan BH Online, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, cadangan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada juara sempena sambutan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia tahun ini.

Menurut Hasni, beliau bercadang memberikan cuti khas itu pada hari Rabu, sehari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia.

“Kita (JDT) menang besar malam tadi melawan Terengganu FC walaupun hanya 10 pemain. Apatah lagi kalau kita ada 11 pemain.

“Saya sepatutnya mahu umum esok dalam dewan penggulungan tetapi sebab teruja JDT menang, saya nak cuba pujuk kalau boleh dan kalau kita berjaya 30 November ini, esoknya kalau boleh kita cuti.

“Ini satu acara yang kita tunggu-tunggukan. Saya berharap mudah-mudahan pasukan JDT menewaskan pasukan lawan dan menjuarai trofi Piala Malaysia,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Tapak Rumah Contoh Gerbang Nusajaya, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tahniah! JDT bertemu KL City di final Piala Malaysia

JDT selaku juara bertahan Piala Malaysia akan bertemu Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan separuh akhir kedua malam tadi.

Dalam perlawanan malam tadi, skuad Harimau Selatan itu berjaya menewaskan TFC 3-0 walaupun bermain dengan 10 orang setelah Safiq Rahim dilayangkan kad merah pada minit ke-15.

Keputusan itu sekali gus melayakkan JDT ke perlawanan akhir selepas menang dengan agregat 4-1.

KL City pula mara ke perlawanan akhir selepas 32 tahun apabila membenam cabaran Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2 selepas tamat masa sebenar dalam dua perlawanan separuh akhir.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram