PADA tahun 2018, media melaporkan satu penemuan semula berkaitan dengan spesies flora yang sudah pupus. Flora itu yang dikenali dengan gelaran ‘bunga makhluk asing’ atau nama saintifiknya ‘Thismia Neptunis’ merupakan tumbuhan yang telah hilang selama ratusan tahun.

Kertas kajian berjudul ‘Penemuan semula Thismia Neptunis (Thismiaceae) selepas 151 tahun’ diterbitkan dalam jurnal Phytotaxa.

Berdasarkan rekod, bunga makhluk asing ini dijumpai kali pertama di Sarawak pada tahun 1866 oleh seorang ahli botani Itali, Odoardo Beccari. Selepas itu, tiada lagi penemuan ke atas flora yang sama dicatatkan.

Bunga makhluk asing atau Thismia Neptunis ditemui pertama kali pada 1866 di Sarawak.

Kesukaran untuk menemui spesies ini menyebabkan ia tersenarai sebagai salah satu tumbuhan yang sudah pupus. Namun pada tahun 2017, sekali lagi bunga makhluk asing ini dijumpai buat kali kedua. Perkara itu memberi kejutan kepada pasukan penyelidik yang menemuinya iaitu kumpulan saintis dari Institut Pengajian Tanaman Republik Czech.

Menariknya, bunga makhluk asing ditemukan kali kedua pada lokasi yang sama iaitu di Gunung Matang, Sarawak. Spesies unik ini direkodkan hanya hidup di kawasan hutan hujan dan setakat ini hanya pernah dijumpai di Borneo.

Mungkin kerana rupanya yang aneh, maka ia digelar sebagai bunga makhluk asing. Ketinggian bunga ini dianggarkan sekitar sembilan sentimeter bersamaan 3.5 inci. Ukuran tersebut menjadi salah satu faktor ia sukar ditemukan. Malah, laporan saintis menganggarkan spesimen yang pernah ditemui adalah kurang daripada 50.

Selain itu, tumbuhan ini hidup di dalam tanah dan hanya mengeluarkan bunga di atas permukaan tanah selama beberapa minggu dalam setahun. Ketika berkembang, bunganya berwarna oren kemerah-merahan. Sementara batangnya memiliki rona putih atau krim.

Terdapat tiga segmen halus yang menyerupai antena atau sesungut pada permukaan bunga. Apabila dilihat dari sudut lain, ia juga memiliki persamaan dengan tanglung ciptaan manusia.

Hilang lebih seabad lamanya sudah cukup menimbulkan rasa pelik saintis terhadap tumbuhahan ini. Ada yang lebih aneh tentang tumbuhan yang sukar ditemui ini. Tahukah anda bahawa bunga makhluk asing ini tidak menjalani proses fotosintesis?

Saintis melaporkan hidupan ini tidak memerlukan cahaya matahari seperti tanaman lain. Uniknya, ia bergantung pada spesies kulat tertentu yang dapat memberinya nutrisi untuk hidup.

Semasa penemuan, terdapat dua ekor lalat yang menempel pada dua kuntum bunga ini yang dijumpai penyelidik. Persoalan tentang adakah serangga menjadi makanan kepada tumbuhan ini masih menjadi tanda tanya kepada saintis.

Namun, mereka berpendapat bahawa flora unik ini memiliki bau yang mampu menarik kedatangan serangga. Pada masa sama, menyebabkan binatang kecil yang hinggap padanya lemas secara tidak sengaja.

Saintis menghadapi kekangan dalam menjalankan kajian terperinci ke atas bunga ini disebabkan kesukaran untuk menemui flora ini yang dikategorikan mengalami kepupusan.

Ia ditambah dengan maklumat yang sangat terhad tentang tumbuhan ini. Mereka hanya memperoleh informasi berdasarkan data-data asas seperti habitat pokok semasa ditemui dan ciri pada tumbuhan.

Sementara itu, Odoardo Beccari banyak mengumpulkan ratusan jenis tanaman lain sepanjang terlibat dalam bidang botani. Antara tumbuhan tersebut adalah Thismia crocea yang ditemui di New Guinea dan Thismia aseroe Beccari di Singapura selain beberapa pokok yang dijumpai di hutan Sarawak. Dia menghabiskan masa dari tahun 1865 hingga 1868 di sebuah pondok hutan yang dinamakan sebagai ‘Vallombrosa’.

Odoardo Beccari, orang pertama yang menemui bunga makhluk asing di Sarawak.

Pengalaman dalam bidang kaji tumbuhan telah dicatatkan dalam beberapa nota dan artikel untuk diterbitkan. Hasrat untuk membukukan maklumat berkenaan tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia pada tahun 1920.

Pada tahun 1924, hasil catatan mengenai eksperimen dan kajian oleh Beccari kemudiannya disemak semula sebelum dibukukan oleh anaknya, Nello Beccari. Buku tersebut berjudul ‘Nuova Guinea : Selebes e Molucche : diarii di viaggio’ yang bermaksud New Guinea, Sulawesi dan Kepulauan Maluku : Diari Perjalanan.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare