MENDAKI beberapa anak tangga sudah hampir membuatkan anda merasa hampir pengsan. Sepanjang masa pula anda seolah-olah diserang ketagihan untuk tidur. Bukan itu saja, hendak melakukan apa juga aktiviti pun anda tidak bermaya.

Seperti ramai di luar sana, anda merasakan, letih sebagai sesuatu yang normal. Namun sekiranya usia anda masih muda dan ia berpanjangan hingga berminggu dan berbulan lamanya, situasi tersebut tidak harus dipandang ringan. Anda harus bertindak dan merujuk hal tersebut kepada doktor!

Menurut Dr. Lori Mosca, pengarah kardiologi di HospitaPresbyterian New York, rasa letih yang berpanjangan tidak boleh dibiarkan dan harus segera dirujuk ke hospital kerana ia mungkin petanda awal anda menghidap penyakit yang lebih serius seperti tiroid, penyakit jantung dan anemia.

Tiroid kurang aktif (hipotiroidisme)

Tiroid kelenjar yang mengawal metabolisme tubuh dengan menukarkan makanan dalam bentuk tenaga. Apabila kelenjar tersebut gagal berfungsi dengan baik, anda akan rasa lemah, letih dan berat badan juga mudah bertambah. Jika anda secara umum merasa lesu, ditambah pula sedikit depresi kemungkinan anda mempunyai masalah hipotiroidism ataupun dikenali sebagai tiroid yang kurang aktif.

Menurut Dr. Alan Farwell 12-15 peratus kes seumpama ini dikesan di kalangan wanita berusia pertengahan usia. Dikatakan juga 17 peratus wanita mengalami keadaan ini dan mereka langsung tidak mengetahuinya.

Simptom : Pertambahan berat badan, rasa sejuk, kulit dan rambut kering

Ujian: Doktor akan melakukan ujian darah untuk mengesan tahap hormon T4 dan hormon perangsang tiroid (TSH). TSH yang tinggi ditambah T4 yang rendah petanda hipotiroidism. Namun jika TSH anda adalah tinggi dan T4 anda pada kadar biasa -anda mungkin mempunyai hipotiroidism ringan, namun harus tetap dirawat.

Rawatan: Pil thyroxine sintetik.

Penyakit jantung

Keletihan yang dialami mungkin juga petanda anda mempunyai jantung bermasalah dan menurut kajian hanya seorang daripada 10 wanita menganggap serangan jantung ini merupakan ancaman terbesar dalam hidup mereka!

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap 515 wanita yang mengalami serangan jantung, 70 peratus di kalangan mereka dilaporkan mengalami keletihan yang luar biasa seminggu sebelum diserang penyakit tersebut dan 57 peratus pula mengakui serangan sakit dada akut. Sebuah kajian lain pula menyebut keletihan dikaitkan dengan gejala arteri tersumbat.

Simptom: Kebanyakan wanita tidak mempunyai sebarang simptom. Namun sesetengahnya mengadu sesak nafas, rasa senak, sakit di bahagian lengan bahu atau rahang. Jika anda mengalami rasa letih melampau walaupun melakukan aktiviti ringan yang biasa dilakukan seperti menaiki tangga dan membersihkan halaman rumah, mungkin ia masanya untuk anda segera menemui doktor dan menjalani pemeriksaan lengkap kerana ia mungkin petanda awal anda menghidap penyakit jantung!

Ujian: Anda diminta untuk menjalani ujian stres atau angiogram jika doktor mengesyaki anda menghidap arteri tersumbat. Namun jika keputusan yang diterima kurang tepat anda juga mungkin diminta untuk menjalani imbasan CT atau ekokardiogram.

Doktor juga akan melakukan ujian lain termasuklah pemeriksaan paras kolesterol, tekanan darah dan gula kerana penghidap diabetes berisiko empat kali ganda untuk diserang penyakit ini!

Rawatan: Anda mungkin dibekalkan dengan ubat untuk merendahkan kolesterol, statin dan ubat untuk merawat tekanan darah, seperti diuretik. Selain itu anda juga perlu mengawal pemakanan dan menjalani senaman secara rutin.

Anemia

Anemia boleh menjadi penyebab keletihan berpanjangan di kalangan wanita. Menurut Prof. Dr. Rebecca J Stoltzfus, pakar nutrisi dari Universiti Cornell, sel darah merah sangat penting dalam membawa oksigen ke tisu dan organ tubuh. Jika sel darah berkurangan akan menyebabkan rasa lemah dan fikiran yang kabur. Tambah beliau lagi, seorang daripada lima wanita dan separuh daripada jumlah wanita hamil mengalami masalah tersebut.

Selain daripada faktor kehamilan, wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak dan diet yang rendah zat besi boleh menyumbang kepada situasi ini.

Simptom: Wajah yang pucat, nadi pantas dan cepat marah

Ujian: Anda diminta menjalani ujian Hemoglobin dan hematokrit. Selain itu doktor anda juga perlu melihat saiz dan warna sel-sel darah merah (kecil dan pucat mungkin petanda anda bermasalah).

Rawatan: Kajian menunjukkan rawatan anemia dengan zat besi tambahan di bawah seliaan doktor boleh merawat keletihan. Anda disarankan supaya tidak mengambil suplemen zat besi tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu kerana terdapat kira-kira satu daripada 200 orang mempunyai keadaan genetik di mana tubuh mereka tidak dapat memproses zat besi dan ini akan mengakibatkan tubuh terdedah pada bahaya. Bagi wanita yang mengalami anemia yang berpunca dari kurangnya zat besi, pengambilan suplemen disarankan.

Banyakkan pengambilan daging merah (buang lemak), hati, kekacang, bijirin gandum, brokoli dan bayam.