SELEPAS empat tahun membahagikan masa sebagai pelajar dan penyanyi, akhirnya Aina Abdul berjaya mengenggam segulung ijazah Sarjana Muda dalam bidang muzik kontemporari dari Univesiti UCSI, hari ini.

Majlis graduasi Aina berlangsung di Dewan Tan Sri Ahmad Razali di kampus Universiti tersebut, pagi tadi.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani itu mengakui sukar untuk belajar dan bekerja pada masa yang sama.

“Saya sebenarnya sudah habis belajar tahun lalu. Tetapi majlis konvokesyen ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

“Syukur, akhirnya majlis graduasi diadakan pagi tadi. Jadi secara rasminya saya sudah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda.

“Bukan mudah untuk saya belajar dan bekerja dalam masa sama. Tetapi saya tetap berusaha mahu menamatkan pengajian.

“Ada ketika saya rasa letih tapi saya harus mencuba bersungguh-sungguh,” katanya kepada URTV.

Sementara itu, Aina mengaku pernah berniat mahu menangguhkan pengajian disebabkan jadual seninya yang terlalu padat.

“Saya pernah menangguhkan pengajian pada penghujung 2014 kerana menyertai Mentor Legend. Selepas itu, saya mula mencari tapak dalam bidang seni dan pada masa yang sama menyambung semula pelajaran.

“Saya sedar menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan diri dengan ilmu. Lagipun, saya belajar dalam bidang muzik juga.

“Sebab itu, saya banyak aplikasikan apa yang saya pelajari dalam kerjaya seni,” ujarnya.

Tidak ketinggalan, Aina turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak yang banyak memberi sokongan kepada dirinya.
an sokongan positif.

“Sekalung penghargaan kepada keluarga, pensyarah, pihak universiti dan rakan yang banyak memberikan sokongan tak berbelah-bahagi sedari dulu.

“Kelab peminat saya, Ainations juga menjadi pembakar semangat untuk saya melangkah lebih maju. Setiap kali jika saya rasa lemah semangat, saya terus teringat orang yang menyokong saya.

“Saya tak boleh berhenti kerana ramai yang memberikan sokongan serta aura positif untuk melihat saya melangkah jauh. Saya harus banggakan mereka,” ungkapnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram