HOTEL hantu! Begitu gelaran penduduk tempatan pada hotel yang terletak dalam wilayah Sicily di Italy ini. Selepas hampir 70 tahun dari permulaan pembinaannya, tidak pernah seorang pelanggan pun pernah mendaftar masuk ke hotel ini.

Ia dinamakan sebagai Grande Hotel San Calogero, mempunyai 300 buah bilik. Pembinaan hotel bertaraf lima bintang ini bermula pada tahun 1954 yang diasaskan oleh pihak berkuasa wilayah tersebut, namun mengambil masa hampir 30 tahun untuk disiapkan.

Grande Hotel San Calogero, hotel yang tidak pernah menerima pengunjung.

Apabila pembinaan sudah hampir lengkap pada awal tahun 1980-an, timbul masalah apabila tiada persetujuan dicapai dengan mana-mana syarikat yang mampu mengendalikan hotel tersebut. Maka hotel itu terbiar begitu saja selama 10 tahun sehingga berlaku banyak kerosakan.

Mengikut dakwaan sesetengah pihak, pernah beberapa kali majlis pembukaan hotel ini cuba dilakukan, tetapi tiada seorang pun peduli untuk menjadikan ia sebagai lokasi penginapan ketika bercuti.

Agak pelik perkara sebegitu boleh terjadi ke atas hotel ini. Masakan tidak, ia dibina di sebuah lokasi paling strategik di tepi laut. Istimewanya lagi, kedudukan bangunan yang terletak di kawasan berbukit Monte Kronio betul-betul berhadapan beberapa buah pulau cantik di Itali.

Kedudukan lokasi hotel ini amat strategik dari sudut pelancongan, tetapi sayang dibiarkan begitu saja kerana masalah pengurusan.

Selain itu, berhampiran hotel ini wujud sebuah kolam air panas terkenal di wilayah tersebut. Secara tidak langsung, ia menarik lebih ramai pengunjung untuk menginap di situ. Tapi realitinya, hotel gah ini gagal menjadi tempat menginap pengunjung ke daerah itu.

Pada tahun 1993, pihak berkuasa tempatan Sicily sekali lagi mengumumkan pembukaan hotel tersebut. Pada fasa kedua ini, ia membabitkan proses berskala besar termasuklah kerja-kerja menaik taraf turut dijalankan. Penduduk setempat juga tidak sabar menanti pembukaan rasmi hotel tersebut.

Tetapi, proses perasmian hotel itu masih gagal disempurnakan. Kali ini ia tidak menyatakan secara spesifik punca menyebabkan bangunan tersebut tidak boleh beroperasi. Meskipun itu, wujud dakwaan mengatakan pemasangan sistem saliran yang tidak betul menjadi sebab ia disekat untuk beroperasi.

Keadaan hotel yang sudah lama terbiar.

Pada tahun sama, masalah menjadi lebih serius membabitkan pihak berkuasa Sicily. Kontrak mengendalikan hotel berkenaan telah pun ditandatangani dengan sebuah syarikat. Oleh sebab melanggar syarat perjanjian, mereka terpaksa membayar penalti sebanyak 800,000 Euro pada tahun 2010 kepada pihak pengurusan La Montagnola. Bayaran itu turut meliputi kos penangguhan kontrak pengurusan hotel sehingga 17 tahun oleh syarikat berkenaan.

Sebelum itu, pada tahun 2000 wujud sebuah syarikat lain dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi hotel berkenaan. Sama seperti kes sebelum ini, ia hanya cerita kosong semata-mata.

Keadaan di pintu masuk hotel.

Menurut laporan akhbar tempatan, La Repubblica, pihak berkuasa tempatan dilabel ‘lupa’ bagi mengeluarkan peruntukkan sejumlah dana untuk membangunkan semula hotel tersebut. Malah, media tersebut turut membuat kesimpulan bahawa salah urus serta pembaziran wang berlebihan menjadi faktor operasi hotel itu tidak dapat dijalankan.

Dalaman yang telah banyak rosak kerana sudah lama terbiar.

Selepas hampir tujuh dekad berlalu, pembinaan bangunan yang menelan belanja jutaan Lira (mata wang tempatan) ini, dilabel sebagai hotel berhantu di kalangan penduduk tempatan.

Berdasarkan fakta, bangunan ini disenaraikan sebagai satu-satunya hotel yang tidak pernah diduduki oleh pengunjung. Dalam bahasa mudah, belum ada seorang pun pernah ‘check in’ di hotel ini.

Oleh sebab belum ada mana-mana manusia pernah tinggal di situ maka, ia telah menjadi tempat tinggal bagi spesies burung merpati.

Hotel yang dirancang gah pembinaannya kini hanya terbiar menjadi tempat tinggal merpati.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare