Muhyiddin berucap ketika merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh kali ke-3 di Dewan Belia Batu 28, Lenga, Muar, hari ini. FOTO FACEBOOK MUHYIDDIN YASSIN

PRINSIP menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menarik sokongan dan dokongan rakyat.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun masih baru, beliau berbangga dengan pencapaian luar biasa parti itu pada hari ini.

MUHYIDDIN YASSIN

Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli Bersatu agar menilai parti itu bukan sahaja dari segi kekuatan dan perpaduan malah juga dari aspek tanggungjawab serta amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat, bangsa dan negara.

Menurutnya, selain mengukuhkan parti, setiap ahli ada tanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing yang kebanyakannya terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Justeru setiap ahli parti perlu meneruskan usaha bagi memberi khidmat kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Saya tegaskan sepanjang berhadapan dengan pandemik, rakyat menghargai apa yang telah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lakukan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan mereka.

“Walaupun masih baru, saya juga boleh berbangga kerana parti ini berjaya mencatat pencapaian yang agak luar biasa dari aspek sokongan dan dokongan rakyat kerana parti ini berpegang kepada prinsip menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa,” katanya, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Pagoh.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Muhyiddin meminta seluruh ahli Bersatu meningkatkan kesiapsiagaan terutama dalam aspek memperkukuhkan jentera parti.

Ujarnya, beliau percaya pengalaman bekerja bagi membantu calon calon PN pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini sangat berharga bagi menghadapi pilihan raya yang lebih besar tidak lama lagi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan sayap parti seperti Armada dan Srikandi kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin pada majlis sama menyampaikan sumbangan barangan perniagaan kepada peniaga kecil dan bantuan perahu dan bot penambang kepada beberapa nelayan kecil kawasan Pagoh.