CUBA anda bayangkan, ahli keluarga yang sudah berpuluh tahun mati tiba-tiba muncul semula? Bukan hanya terkejut, silap haribulan boleh pengsan ingatkan yang muncul itu hantu!

Itu yang berlaku pada seorang wanita di utara India. Penghujung tahun 2016, perkampungan Inayatpur di bandar Majahwan, utara India gempar dengan kehadiran seorang wanita yang sebelum itu dikatakan sudah mati, kembali semula ke pangkuan keluarganya.

Wanita itu sudah disahkan mati, telah meninggal dunia 40 tahun sebelum muncul tiba-tiba muncul semula. Berita kepulangan wanita yang bernama Vilasa ini telah menggemparkan penduduk, bahkan turut mendapat perhatian media antarabangsa.

Bagaimana wanita yang sudah mati ini boleh hidup kembali?

Vilasa yang didapati sudah 40 tahun mati tiba-tiba muncul kembali, mengejutkan keluarga dan penduduk kampungnya.

Berdasarkan laporan media tempatan, Vilasa disahkan mati pada tahun 1976. Ketika kejadian, wanita ini sedang bekerja di luar kawasan rumahnya di Inayatpur.

Malangnya, Vilasa telah dipatuk seekor ular tedung hitam semasa sedang bekerja. Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera membawa wanita berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, Vilasa diberikan rawatan tradisional oleh perawat tempatan. Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila dia disahkan mati akibat dipatuk ular yang menyerangnya.

Berita kematian Vilasa merentap jiwa seluruh ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi ketika itu dia mempunyai anak-anak yang masih kecil. Namun, upacara kematiannya tetap dilangsungkan sebagai tanda menghormati jasad Vilasa.

Bertempat di Sungai Ganga, mayat wanita ini disempurnakan mengikut tradisi kepercayaan mereka. Selesai upacara penyempurnaan, tubuh Vilasa kemudiannya dihanyutkan ke sungai berkenaan.

Tiba-tiba, selepas 40 tahun kematian Vilasa dilaporkan, wanita itu pulang kembali ke rumah keluarganya. Sudah tentu ia sesuatu yang mengejutkan.

Mujur anak-anak perempuannya, Ram Kumari dan Munni masih dapat mengecam ibu mereka berdasarkan tanda lahir Vilasa. Pertemuan semula wanita malang ini bersama ahli keluarga meruntun jiwa orang ramai. Apatah lagi, kasih sayang yang pernah terjalin suatu ketika dahulu terpisah selama 40 tahun akibat ‘pemergian kekal’ si ibu.

Kebiasaannya, jasad penduduk di sini akan dibakar apabila meninggal dunia. Walau bagaimanapun, sekiranya mereka mati akibat dipatuk ular, pengurusan mayat tidak dilakukan dengan cara yang sama.

Mayat mereka yang mati dipatuk ular akan dihanyutkan ke sungai tertentu mengikut kepercayaan. Hal ini berikutan penduduk percaya sungai yang dianggap suci itu akan membuang bisa ular daripada tubuh sekali gus mengembalikan semula si mati ke pangkuan keluarga.

Mayat mereka yang dipatuk ular akan dihanyutkan ke sungai.

Apa sebenarnya yang terjadi kepada Vilasa?

Vilasa menceritakan, jasadnya yang dihanyutkan ke sungai telah dijumpai oleh dua orang nelayan dari kawasan seberang. Setelah mendapati ‘mayat’ Vilasa masih bernyawa, wanita ini diselamatkan oleh dua individu terbabit dan dibawa ke kuil untuk diberikan rawatan.

Tetapi ketika sedar, Vilasa tidak dapat mengingati peristiwa yang terjadi ke atasnya. Malah, Vilasa hilang memorinya sehingga tidak mengenali dirinya sendiri, apatah lagi keluarga dan tempat tinggalnya. Mungkin kehilangan memori itu kesan patukan ular tersebut.

Vilasa hilang memori. Hanya setelah 40 tahun barulah ingatannya pulih semula.

Disebabkan itu, Vilasa tidak dapat kembali ke pangkuan keluarganya selama tempoh 40 tahun. Ingatan wanita ini kembali pulih sedikit demi sedikit sehinggalah dia memperoleh memori asal sepenuhnya.

Vilasa mula menceritakan kisah hidupnya kepada seorang wanita di kuil tempat tinggalnya. Kebetulan, wanita berkenaan yang juga merupakan rakan kepada Vilasa segera menyampaikan cerita tersebut kepada bapa saudaranya, Chetram.

Vilasa bernasib baik apabila Chetram masih mengingati peristiwa 40 tahun dahulu. Betapa tidak, lelaki berusia 82 tahun itu turut menghadiri upacara kematian Vilasa pada tahun 1976. Dengan tidak semena-mena, perkara itu segera disampaikan kepada salah seorang penduduk di kampung Inayatpur bagi mendapatkan maklumat tentang keluarga kandung Vilasa.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Vilasa yang sudah berusia 82 tahun berjaya menemui anak-anak perempuannya meskipun sudah terpisah selama puluhan tahun.

Mujurlah ‘mayat’ Vilasa dihanyutkan ke sungai. Bayangkan jika dibakar?

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare