DUNIA hip hop tempatan terus menggegar ruang udara muzik Malaysia dan tidak terkecuali memeriahkan genre ini adalah bintang yang semakin mencipta nama, Asyraf Nasir. 

Sejak kemunculannya lewat pertandingan mencari bakat hip hop anjuran stesen radio Era, Asyraf telah bejaya mencuri perhatian penggemar muzik tempatan dengan beberapa lagu dan projek kolaborasinya.

Kini Asyraf kembali dengan sebuah lagi karya berjudul 2PAI yang dijangka akan mengukuhkan lagi nama serta kedudukannya dalam industri. 

Lagu tersebut sebenarnya diinspirasikan oleh peribahasa setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Dicipta dan ditulis oleh Asyraf sendiri, lagu yang diterbitkan oleh Wolfy ini berkisar sifat manusia yang boleh menjadi angkuh apabila mereka memperolehi segalanya. 

Malah, ada juga individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai ke puncak tanpa mempedulikan isu moral dan kebaikan.

Jadi lagu ini mengingatkan kita bahawa rezeki boleh diberi dan juga ditarik balik. Ia juga satu peringatan bahawa manusia mudah leka dan harus sedar yang setinggi mana pun pencapaian, janganlah lupa titik permulaan kita. 

Sesungguhnya tiada siapa yang dapat perolehi kejayaan sepenuhnya tanpa bantuan orang lain. Itulah pesanan yang cuba disampaikan lewat projek ini.

Lagu ini juga memberi peluang untuk pendengar mengenal bunyi khas atau ‘sound’ Asyraf yang sepenuhnya sepanjang dirinya bergelar ahli muzik. 

“Biarpun penulisan lagu mengambil masa lebih kurang dua hari, persiapan jalan ceritanya yang memakan masa. Dari segi komposisi lagu, saya berkerjasama dengan Wolfy secara virtual.

 “Lagu ini disiapkan pada tahun lepas, ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kami terpaksa membuat panggilan video untuk bincangkan susunan lagu,” katanya.

Malah kesemua rakaman vokal dilakukan sendiri di rumah disebabkan PKP.

“Saya sebenarnya memang berniat nak rakam dalam studio tetapi setelah membuat rakaman buat kali ketiga di rumah sendiri, saya rasa hasilnya tak sama seperti kali pertama  rakam di rumah. 

“Jadi semua vokal yang anda dengar ni adalah rakaman suara yang saya lakukan di rumah,” jelasnya.

Lagu ini turut menampilkan sebuah video muzik istimewa arahan Thaqif Saadon.

Ia menampilkan senario dua orang yang bekerjasama namun menemui konflik sepanjang bekerja. Malah rakan seperjuangannya YonnyBoii diundang untuk memainkan salah satu watak tersebut.

“Biarpun video muzik dirakam dalam masa satu hari, tetapi persiapan penuh mengambil masa sebulan sebelum kami akhirnya dapat berada di lokasi bersama kru yang terlibat. 

“Semua orang akan lihat karakter saya yang berbeza daripada biasa sebab konsepnya seperti filem aksi,” ujarnya.

2PAI sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram