Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique tertarik melihat buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 ketika hadir melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dalam usaha untuk mengembalikan semula impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.

Perdana Menteri berkata, Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Katanya, ia bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique selaku Menteri akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inkusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

“Ini bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting,” katanya berucap pada majlis berkenaan.

Lima strategi penting itu kata Perdana Menteri ialah:

Teras Strategik 1: Memelihara Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan

Teras Strategik 2: Membentuk Masyarakat yang Menghargai dan Mengamalkan Perpaduan

Teras Strategik 3: Memperkasakan Sosio-Ekonomi Yang Adil dan Saksama

Teras Strategik 4: Menjamin Keterbukaan dan Toleransi Terhadap Perbezaan Agama dan Tradisi Kebudayaan

Teras Strategik 5: Membina Masyarakat Progresif Melalui Sains, Teknologi dan Inovasi

Baca: Keluarga Malaysia mampu bawa negara berdaya saing

Perdana Menteri lancar Pas Keluarga Malaysia

Selain Halimah, turut hadir pada majlis pelancaranpelan berkenaan adalah beberapa menteri antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika hadir melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut Perdana Menteri, pelan berkenaan dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi, di samping mampu memanfaatkan Keluarga Malaysia, iaitu merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosiobudaya, sains, teknologi dan inovasi.

Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan berkenaan untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.

“Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membentuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama.

“Itulah harapan yang saya inginkan apabila berbicara tentang perpaduan semasa melancarkan Keluarga Malaysia di Sarawak pada pada 23 Oktober lepas,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut melancarkan satu lagi pelan iaitu [email protected] Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang merupakan satu pelan yang paling signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.

Chee Wee Sen (dari kiri) bersama A.Yogeswary, Eryssa Ardilla Azmi dan Lilian Suiking tertarik melihat buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI @ Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Beliau berkata pelan yang merakyatkan perpaduan itu akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau KAMI iaitu K yang membawa makna – Karib; A – Aksesibiliti ; M – Majmuk dan I – Inklusiviti.

“Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

“Pendedahan ini juga adalah signifikan supaya masyarakat berlainan etnik dapat mengawal percakapan dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama serta budaya etnik lain sehingga sering menjadi pencetus reaksi negatif,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, impian kemakmuran bersama Keluarga Malaysia adalah asas kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

“Diharap Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan [email protected] Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram