PELAKON dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim, 48, tertanya-tanya dengan syarat-syarat yang diletakkan oleh pihak syarikat penyiaran apabila memilih pelakon untuk membintangi sesebuah drama.

Menerusi perkongsiannya di ciapan Twitter, Yusry yang hairan sama ada pihak televisyen lebih menitikberatkan populariti di media sosial berbanding dengan bakat yang dimiliki oleh seorang pelakon.

“Apa kriteria untuk pelakon drama televisyen? Pengikut? Orang yang berpengaruh?,” soal Yusry.

Luah bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia mencadangkan pihak televisyen menukar pelakon selepas pelakon itu gagal membawa wataknya walaupun sudah diberi masa untuk membuat persediaan.

Akan tetapi, cadangannya itu diabaikan oleh pihak televisyen malah tindakannya itu telah menyebabkan dia digugurkan daripada penggambaran. 

“Tahun 2021, saya cadang ke produser untuk tukar pelakon utama sebab tak boleh bawa watak selepas tiga hari penggambaran. Mulakan semula penggambaran!

“Tetapi, penyiar tetap mahu ‘pelakon’ itu. Saya pula yang ditukar. Situasi drama televisyen tempatan adalah angkara penyiar itu sendiri!” luah Yusry yang juga merupakan anggota kumpulan KRU.

Malah, ciapan itu turut mendapat perhatian daripada pelakon veteren, Fatimah Abu Bakar yang memuji serta bersetuju dengan pendapat yang dikemukan oleh Yusry.

“Terima kasih kerana berani menyuarakan hal ini, terima kasih kerana mencuba. Jomlah semua, bersatu demi seni. 

“Marilah semua produser, pengarah, pelakon, krew dan pihak televisyen bekerjasama untuk memulihkan seni kita, jangan bergaduh antara satu sama lain,” komennya.

Dalam pada itu, pengikut Yusry di Twitter juga memberikan pandangan mereka mengenai kualiti industri seni pada ketika ini yang semakin membimbangkan.

“Industri di negara kita kini sangat merisaukan. Cuba tengok pelajar teater, yang ambil kelas berlakon dan sebagainya, tak dihargai ke? Tak boleh pakai ke latihan dan bakat mereka? Untuk apa belajar tinggi kalau akhirnya pengikut berjuta yang diambil? Kenapa? Risau,” ujar @jixie.

“Setuju.. sebab itu aku tak berapa layan drama melayu kita ada kayu dan ada syok sendiri. Itu belum masuk drama yang klise, merajuk benda remeh temeh.

“Sampai bila-bila kalau begini cara industri seni aku berani cakap, industri seni tak akan kemana, yang berkualiti disisihkan,” kata @sesaknafas.