GAMBAR HIASAN Abd Razak Aid

JANGKITAN COVID-19 seluruh negara terus mencatatkan trend penurunan sejak kebelakangan ini.

Buat hari keempat berturut-turut, kes COVID-19 susut setelah merekodkan 4,087 penularan hari ini.

Jumlah berkenaan juga adalah kadar paling rendah pernah dicatatkan dalam tempoh 197 hari.

Kali terakhir kes baharu paling rendah daripada yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 3,780 kes pada 16 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kes COVID-19 telah pun mencecah 2.627 juta setakat ini.

“Pada 29 November 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 4,087 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,627,903 kes.

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya dalam media sosial.

Baca artikel berkaitan: 4,239 kes baharu, terendah dalam tempoh lebih 6 bulan

Berdasarkan data dikongsi Dr. Noor Hisham, negara merekodkan trend penurunan kes sebanyak lapan peratus dalam tempoh tujuh hari.

Menurut beliau, secara purata sebanyak 5,316 jangkitan telah dilaporkan sepanjang tempoh sama.

Secara keseluruhan, kebanyakan negeri turut merekodkan penurunan jangkitan dengan trend di Sarawak menurun sehingga 39 peratus.

Purata kes di Sarawak sepanjang tujuh hari pula berjumlah 170 jangkitan.

Bagaimanapun, Perlis menjadi negeri tertinggi yang menunjukkan peningkatan iaitu trend tujuh hari melonjak 72 peratus menerusi 31 kes purata.

Negeri-negeri lain yang turut meningkat adalah Labuan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Kedah, Melaka dan Pahang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram