tanda hati sedang sakit

Iman tidak dapat dilihat secara zahir, akan tetapi ia masih boleh dirasai dengan tingkah laku manusia. Iman yang sihat akan jelas terlihat dari perlaksanaan ibadahnya kepada Allah s.w.t dan peribadinya.

Namun, jika hati yang tertutup dengan dosa kemaksiatan, maka iman dan hati itu mula menjadi gelap dan sakit. Hati yang sakit bukanlah sekadar perasaan tergores yang dirasai, tetapi disebabkan gelapnya hati kita. Punca dari gelapnya hati adalah disebabkan dosa yang dilakukan, tidak kira sama ada dosa kecil mahupun besar. Apakah tanda-tanda kamu sedang mengalami sakit hati?

Pertama: Yakin wujudnya Allah, namun langgar perintah-Nya

Ketika kita mengetahui Allah, mencintai-Nya, rindu ingin berjumpa dengan-Nya dan berserah diri pada-Nya dan mengutamakan segala keinginan-Nya. Namun, hati yang sakit itu telah melebihkan syahwatnya daripada taat dan cinta kepada Allah sebagaimana dalam firman-Nya,

“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi di ta’ati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?” (al-Furqaan: 43)

Sebahagian ulama salaf mengatakan, itulah hati yang apabila menginginkan sesuatu, ia menurutinya. Lalu, ia mengharungi hidup di dunia ini seperti seekor binatang yang tidak mengetahui Penciptanya dan tidak menyembah-Nya dengan mentaati perintah dan larangan-Nya.

Sebagaimana  firman Allah. “Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan Jahannam adalah tempat tinggal mereka.” (Muhammad: 12).

Kedua: Tidak merasa bersalah dengan dosa yang dilakukan

Hati yang sihat akan merasa sakit dan menderita apabila melakukan maksiat dan dosa. Sehingga ia memaksa untuknya berubat dengan bertaubat kembali kepada Allah s.w.t. Sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t,

“Sesungguhnya orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” (al-A’raaf: 201)

Namun, ia sebaliknya berlaku kepada hati yang sakit dan buta. Hatinya seakan tidak rasa untuk kembali bertaubat kepada Allah. Adapun hati yang hidup, keburukan yang dilakukan sentiasa mengiringi dengan kebaikan dan dosa sentiasa diubati dengan taubat.

Ketiga: Tidak sedar terhadap kebodohan atas kebenaran

Sebahagian ulama menuturkan, “Tidak ada dosa maksiat kepada Allah yang lebih jelik daripada kebodohan.” Dikatakan kepada Imam Sahl, “Wahai Abu Muhammad, apakah yang lebih jelik dari kebodohan?” Jawabnya, “Bodoh terhadap kebodohan (maksudnya, orang bodoh yang tidak tahu kebodohannya).” Oleh itu, kebodohan adalah musibah terbesar bagi mereka yang sihat hati dan imannya.

Keempat: Menyukai maksiat dan munafik

“Dan kami turunkan dari al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al-Isra’: 82).
Mereka yang mendengarkan nyanyian yang menumbuhkan kemunafikan dalam hati dan menimbulkan syahwat dan di dalamnya pula terkandung kekufuran kepada Allah.

Seorang hamba akan lebih mengutamakan maksiat kerana kecintaannya pada hal-hal yang dimurkai Allah dan Rasul-Nya. Dengan demikian, mengutamakan maksiat ialah punca daripada penyakit hati dan boleh menjadi parah kepada hati.

Kelima: Rasa tenang tinggal di dunia, tanpa rasa asing dalam memikirkan akhirat

Hati yang sihat akan merasa asing tinggal di dunia. Hatinya hanya memikirkan kehidupan ‘selepasnya’ iaitu akhirat. Sedangkan hati yang sakit, akan berasa tenang dalam menjalani kehidupannya di bumi Allah s.w.t. sebagaimana Rasulullah s.a.w dalam hadisnya, Baginda bersabda,

“Jadilah engkau di dunia laksana orang asing, atau orang yang menyeberangi jalan.” HR Bukhari

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLink