MESIN juruwang automatik atau ATM boleh disifatkan sebagai satu ciptaan paling rumit yang telah dicipta bagi memudahkan urusan harian manusia.

Pada zaman dahulu, sebelum wujudnya mesin ATM untuk kita keluarkan wang, seseorang perlu pergi ke bank untuk melakukan urusan pengeluaran duit.

Namun apabila wujudnya mesin ATM, urusan tersebut semakin mudah. Asalkan di kawasan itu terdapat kemudahan mesin ATM, dengan cepat kita boleh mengeluarkan wang walaupun ketika bank sudah tutup.

Pernahkah anda terfikir bagaimana mesin ATM ini dicipta?

Ramai percaya, mesin ATM pertama merupakan hasil ciptaan seorang ahli perniagaan rakyat Amerika bernama Luther Simjian.

Sebelum ini, beliau telah mencipta mesin X-ray, kamera berfokus dan basikal untuk senaman. Tetapi antara ciptaan paling popular Luther Simjian ialah Bankograph – sebuah mesin yang mampu menerima wang mahupun kepingan cek tanpa mengira waktu, siang mahupun malam.

Luther Simjian.

Pada tahun 1960, Luther Simjian berjaya meyakinkan bank New York untuk menggunakan mesin Bankograph ciptaannya.

Bagi meyakinkan para pelanggan yang duit atau cek mereka selamat, sebuah kamera mikrofilem diletakkan di dalam mesin Bankograph tersebut. Gambar mereka yang menggunakan mesin itu akan dirakam dalam setiap transaksi yang dilakukan untuk dijadikan sebagai bukti.

Namun, mesin tersebut tidak mendapat sambutan. Hanya pelacur dan kaki judi sahaja kerap menggunakan mesin tersebut kerana mereka tidak mahu berurusan secara bersemuka dengan pegawai bank.

Sambutan dingin ini telah menghalang cita-cita Luther untuk mempopularkan mesin ciptaannya.

Kemudian, pada tahun 1967, seorang lelaki bernama John Sheperd Barron mendapat idea untuk mencipta mesin seakan-akan mesin penjual automatik. Bezanya mesin ini mampu mengeluarkan wang dalam jumlah-jumlah tertentu.

John Sheperd.

Mesin ciptaan itu tidak menggunakan kad ATM seperti hari ini. Ia menggunakan baucar yang dicetak menggunakan dakwat radioaktif supaya mesin tersebut boleh membacanya selain hanya 10 Dolar dibenarkan bagi setiap transaksi yang dibuat.

Mesin transaksi bank pertama di Amerika Syarikat telah dicipta oleh seorang jurutera bernama Donald Wetzel. Mesin yang dicipta Donald menggunakan kad plastik, lebih kurang seperti kad ATM yang kita gunakan pada hari ini tetapi ia menyimpan maklumat akaun dalam benang magnetik yang terdapat pada kad tersebut.

Donald Wetzel.

Pada bulan September tahun 1969, sebuah bank di Long Island telah menggunakan mesin ciptaan Donald ini.

Kemudian, pada tahun 1977, pengerusi bank Citibank telah mengambil risiko besar dengan membelanjakan lebih 100 juta untuk memasang mesin ATM di seluruh bandar raya New York. Langkah yang diambil Citibank ternyata menjadi titik tolak penggunaan mesin ATM di seluruh pelosok dunia.

Hari ini, mesin ATM ini terdapat di serata dunia. Penggunaannya telah dimudahkan dengan terciptanya kad cip yang mengandungi semua rekod kakaun. Ia memudahkan proses keluar masuk wang tanpa perlu ke kaunter bank.

Tetapi, jika mesin ATM saja banyak, duit tak ada dalam akaun, tak ada gunanya juga kan. He he he…

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare