PENERBIT terkenal, Datuk A.Aida, 51, tidak percaya jumlah pengikut di Instagram pelakon membawa kepada kejayaan sesebuah drama sekaligus menjadi tular.

Menurut A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, kualiti dan kemampuan seseorang pelakon untuk memegang sesuatu watak adalah tugas penerbit itu sendiri.

“Saya tak pernah percaya jumlah pengikut boleh membuatkan drama itu tular. Kawan saya pernah buat filem, dia ambil pelakon yang ada pengikut berjuta.

“Tapi kutipan filem tak cecah RM100,000 pun. Lagi pula, kalau ada pelakon yang berjuta pengikut tapi malas nak promosi produk sendiri tak guna juga.

“Secara peribadi bagi saya, paling penting kena tahu pelakon itu bagus dan boleh berlakon. Kalau stesen televisyen cadangkan pelakon baharu, saya akan kaji dan ‘study’ dulu pelakon itu dan cara lakonan dia. 

“Kalau rasa tak sampai, saya akan cadangkan nama lain. Sebagai penerbit kena ambil tahu semua ini.

“Macam saya buat drama Andainya Takdir, TV3 cadangkan ambil pelakon kanak-kanak baharu sebab asyik muka Puteri Balqis. Jadi saya buat uji bakat, tapi tak boleh…saya tak nak sebab nanti merosakkan cerita itu. Jadi saya ambil juga dia sebab kita tahu kemampuan dia. Kadang kena ikut tuah dan rezeki juga,” ujarnya.

Perkongsian A.Aida itu adalah menerusi topik How To Make A Drama Go Viral pada sesi siaran langsung Instagram bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Tambah Aida lagi, jalan cerita, pemilihan pelakon, pengarah, skrip dan lagu tema yang bagus merupakan elemen utama menjadikan sesebuah drama menjadi tular.

“Dalam soal pemilihan pelakon, saya akan tentukan. Stesen TV pun kena ikut sebab macam saya kalau baca skrip itu kita sudah boleh tahu siapa pelakon yang boleh lakonkan karakter itu. 

“Kalau tak dapat pelakon berkenaan, baharulah kita cari yang lain. Cara saya, untuk setiap watak itu kita senaraikan beberapa orang. Tak dapat pelakon A, cari pelakon B.

“Selain itu, jalan cerita dan skrip kena bagus. Kena ambil tahu juga apa kehendak slot. Macam Slot Akasia kita sudah tahu tema yang diketengahkan. 

“Saya sudah faham sangat. Jadi, disebabkan itu untuk drama terbaharu saya, Kisah Cinta Kita saya buat ala drama Korea. Insya-Allah akan tular.

“Begitu juga macam drama Bidadari Salju sebelum ini. Apabila baca jalan cerita, saya terus bincang dengan Haqiem Rusli untuk buat lagu tema yang bagus.  Maka terhasil lagu Mimpi. 

“Dengan lagu tema yang bagus juga akan membantu drama itu. Asal saja kita kena yakin. Ini cara saya,” kata pemilik syarikat A Aida Production Sdn. Bhd itu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram