PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi tetamu kehormat pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021 yang bakal berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, esok.

Pada majlis itu, Perdana Menteri akan menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI PETRONAS 2020.

Selain itu, menurut Malaysian Press Institute (MPI), Ismail Sabri juga akan melancarkan buku terbaharu terbitan MPI berjudul Bisnes Media dan Prinsip Jurnalistik.

Seramai 400 orang tetamu dijangka hadir memeriahkan MWM 2021 dengan turut mengesahkan kehadiran ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, menurut MPI, penyertaan HKM 2020 merosot sedikit berbanding HKM 2019 tetapi penyertaan pendatang baharu dalam bidang media dan juga portal berita bertambah.

“Ini memberi gambaran bahawa bergerak ke hadapan, media tradisional akan berhadapan dengan saingan sengit daripada organisasi media alam maya bagi 18 kategori yang dipertandingkan dalam HKM.

“Antara media alam maya yang hantar penyertaan HKM 2020 ialah The Vibes, Malaysia Gazette, Malaysiakini, Malaysian Insight & TV Pertiwi,” kata kenyataan itu.

Jelas MPI, bagi HKM 2020, 228 orang pengamal media telah mengambil bahagian berbanding 308 penyertaan pada HKM 2019.

“Penurunan sebanyak 26 peratus bilangan penyertaan adalah daripada tiga kategori iaitu Kewartawanan Foto Cemerlang, Foto Esei Cemerlang dan Infografik Terbaik.

“Juga menyumbang kepada kemerosotan adalah bagi dua kategori yang tidak lagi dipertandingkan iaitu Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, yang disatukan dengan kategori Penulisan Rencana Cemerlang dan Kartun Editorial Terbaik yang kita tiadakan kerana sambutan yang tidak memberangsangkan dari segi penyertaan sejak ia pertama kali diperkenalkan.

“Bagi kategori-kategori lain penyertaannya adalah stabil,” ujar kenyataan itu.

Mulai HKM 2020, hadiah kepada pemenang dijenamakan sebagai Pemenang Emas, Pemenang Perak dan Pemenang Gangsa.

Pemenang Emas menerima hadiah sebanyak RM10,000, sijil dan trofi, Pemenang Perak menerima hadiah sebanyak RM1,500 dan sijil manakala Pemenang Gangsa pula menerima hadiah sebanyak RM1,000 berserta sijil.

MPI juga memperkenalkan trofi baharu untuk pemenang emas bagi menggantikan trofi sebelum ini.

MPI sukacita memaklumkan bahawa PETRONAS bersetuju untuk menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai HKM 2020 hingga HKM 2022. Kuantumnya kekal RM300,000.

PETRONAS adalah penaja HKM sejak 1994 pada mulanya sebanyak RM70,000, kemudian dinaikkan menjadi RM150,000 pada 2005 dan pada 2009, kuantum tajaan dinaikkan kepada RM300,000.

Sementara itu, MPI telah menerima sumbangan dan tajaan bernilai RM412,500 kali ini daripada badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2021.

Para penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2021 berfoto kenangan pada 26 Oktober 2021.

“Sumbangan dan penajaan itu pada waktu zaman sukar ini amat-amat kami hargai,” kata Pengerusi MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram