KEJADIAN jenayah ialah samun minuman keras yang dirampas pihak berkuasa.

Lokasi kejadian pula di tempat simpanan minuman keras yang dirampas sebelum ini.

Yang terlibat dalam kes ini tujuh individu dengan empat daripadanya anggota sebuah agensi penguatkuasaan yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Kes melibatkan orang dalam itu berlaku awal pagi, Khamis lalu di Dengkil, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, peranan empat anggota penguat kuasa itu disyaki membocorkan maklumat mengenai tempat penyimpanan minuman keras yang dirampas sebelum ini.

Menurutnya, enam daripada suspek sudah ditahan di sekitar Dengkil dan Shah Alam.

Beliau berkata, tiga suspek lelaki terbabit bertindak menaiki sebuah lori memasuki tempat simpanan barang kes milik pihak berkuasa itu pada kira-kira 2.30 pagi.

“Suspek telah mengikat pengawal keselamatan sebelum memunggah minuman keras yang berada dalam sebuah lori di tempat simpanan itu ke dalam lori yang dibawa mereka,” katanya.

Mazlan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Menurut beliau, proses pemunggahan berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam sebelum suspek membawa keluar barang kes pada 5 pagi.

“Hasil laporan polis yang dibuat pengawal keselamatan itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati ia melibatkan ‘orang dalam’ agensi penguat kuasa itu.

“Susulan itu, polis menahan empat anggota penguat kuasa yang disyaki memberikan maklumat kepada sindiket berkenaan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Baca: Dadah ke Auckland guna KLIA, dua ‘orang dalam’ antara ditahan

Mazlan berkata, hasil pemeriksaan, polis turut menemui dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, 47 biji pil eramin 5 dan 4.9 gram kokain yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM559,899.

Kata beliau, pihaknya juga merampas penimbang elektronik, telefon bimbit dan wang tunai RM111,100 dalam kenderaan penguat kuasa terbabit.

Mazlan berkata, hasil soal siasat, polis menahan dua lelaki, masing-masing seorang pemandu dan kelindan lori serta merampas sebuah lori di tepi jalan di Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan dalam lori itu, polis menemui 234 kotak minuman keras jenama Brona dipercayai dilarikan dari tempat simpanan barang kes.

“Kesemua suspek direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Beliau berkata polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang disyaki dalang utama sindiket itu yang masih bebas.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram