Juruaudit daripada Jabatan Audit Negara melawat projek graduan penulis (tengah) di Lubok China Melaka pada tahun 2010.

SELALUNYA kita mendengar tentang jajaran baru politik terutama sejak situasi politik yang bercelaru dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Namun hari ini, saya melihat sektor pertanian juga memerlukan jajaran baru yang lebih serius apabila  hampir setiap hari kita berdepan dengan pelbagai isu berkaitan pertanian yang semakin meresahkan kita.

Ketika kita sedang berdepan dengan cabaran ekonomi akibat impak Covid-19, kenaikan harga barang yang menggila terutama bahan makanan berasaskan pertanian dianggap paling buruk dalam sejarah negara.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini sahaja banyak isu berkaitan pertanian yang amat serius berlaku bagai bertali arus. Antaranya ialah kenaikan harga bekalan baja dan racun yang mencecah dua kali ganda. Begitu juga harga sayur-sayuran, masalah tenaga kerja tempatan, kartel warga asing hinggalah isu kejatuhan indeks keselamatan makanan global Malaysia di peringkat dunia.

Pertanian adalah sumber makanan yang tidak boleh dipandang remeh. Sebab itulah sektor ini dikategorikan Jaminan Keselamatan Makanan Negara (Food security). Tumbangnya pemimpin negara-negara Arab ketika Arab Spring 2011 adalah bermula dengan kenaikan harga barangan makanan yang melampau di Tunisia, protes rakyat sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Zine El Abidin bin Ali.

Pada saat kita bergelut dengan pelbagai isu pertanian, negara-negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia terus memintas kita dalam kemajuan sektor pertanian mereka, bukan sahaja untuk keperluan dalam negara, bahkan menjadi pengeksport makanan ke negara maju.

Dalam hal ini, penulis sering dilontarkan persoalan apakah yang tidak kena dengan dasar pertanian kita?

Masyarakat bertanya ke manakah pakar-pakar dan cendekiawan pertanian kita hingga baja dan racun sendiri tidak boleh dihasilkan?

Mengapakah anak-anak muda kita seolah-olah tidak meminati sektor pertanian?

Bagaimanakah warga asing semakin berani untuk menguasai sektor pertanian di Malaysia hingga wujudnya kartel warga asing?

Penulis sudah terlibat dengan sektor pertanian seawal usia 12 tahun. Alhamdulillah, penulis meneruskannya hingga ke hari ini. Fokus penulis kepada pembangunan latihan kemahiran pertanian generasi baru menjadikan penulis sentiasa peka dengan situasi pertanian negara.

Pada pandangan penulis, pelbagai masalah yang sedang melanda hari ini adalah berpunca daripada kelemahan kita merancang dan melaksanakan dasar pertanian sebelum ini. Kita gagal memberi fokus yang serius terhadap dasar pertanian negara.

Pertanian negara perlu ditadbir dan digerakkan secara komersil, moden dan bertaraf dunia. Sebaliknya, kita hanya berbangga menceritakan angka yang mempersonakan seolah-olah kita sudah mencapai banyak kejayaan, sedangkan hakikatnya kita masih berada di takuk yang lama. Jauh sekali untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Ketika era pemerintahan Tun Abdullah Badawi, Perdana Menteri Kelima, penulis dapat melihat wawasan Pak Lah yang amat besar dan berjiwa murni dalam sektor pertanian. Pak Lah bukan sahaja melihat kepentingan sektor makanan kepada keselamatan negara tetapi juga usaha membangunkan golongan petani yang majoritinya adalah Bumiputera.

Di penghujung kuasanya, Pak Lah menyedari bagaimana isu kenaikan harga barang adalah antara faktor kemerosotan undi pilihanraya ke 12 yang membawa kepada kejatuhan lima negeri di Semenanjung kepada Pakatan Rakyat.

Penulis pernah mendengar sendiri luahan Pak Lah bagaimana kekangan yang dihadapinya  untuk mencapai misi pertanian beliau. Dalam satu perbincangan secara bersemuka antara  penulis dengan Pak Lah di Seri Perdana pada tahun 2008, beliau menyedari kekurangan penglibatan anak muda dalam sektor pertanian ketika itu.

Masih ingat kepada penulis bagaimana beliau hairan mengapa ribuan pekerja pertanian diperlukan tetapi tidak mampu diisi oleh tenaga mahir muda Malaysia. Maka penulis menunjukkan data pelatih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), di bawah Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2008. Ketika itu hanyalah sekitar 500 orang.

Pak Lah yang terkejut dengan jumlah yang amat sedikit, bertanya kepada penulis apakah yang patut dilakukan? Maka penulis mencadangkan satu gerakan besar-besaran melatih belia untuk menyertai pertanian dan perlu diselaraskan hingga ke seluruh negara.

Pada tahun 2008, penulis bekerjasama dengan beberapa kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dan pelbagai agensi dengan meletakkan misi tersebut di bawah program Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera Generasi Kedua (BCIC-2).

Daripada kempen, promosi hinggalah menguruskan latihan dijalankan sendiri oleh penulis secara konsisten di seluruh negara. Setiap pagi Sabtu, RTM memberikan slot secara langsung peranan pelatih menjadi ikon dan model pertanian generasi muda.

Penulis sahaja mampu melahirkan 2000 graduan SKM pertanian setahun ketika itu termasuk sektor perladangan seperti kelapa sawit. Hampir 50 peratus adalah belia Sabah dan Sarawak.

Pelbagai program jangka pendek juga telah melahirkan ribuan peserta dan ada yang masih aktif hingga kini.

Ramai yang bertanya kepada penulis ketika itu kenapakah MOA lambat menyertai gerak kerja kami?

Terus terang penulis katakan bahawa bukan mudah untuk menembusi MOA ketika itu kerana budaya dan sikap yang tidak pro-aktif. Lebih malang apabila wujudnya sikap buruk sesetengah pihak yang menganggap kami seperti musuh (rival).

Namun penulis agak bernasib baik apabila Tan Sri Noh Omar yang dipindahkan daripada MECD ke MOA sebagai Menteri bersama Ketua Setiausahanya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah  telah mengenali penulis. Merekalah yang bertanggungjawab melantik penulis menganggotai NATC dan pelbagai kegaiatan di MOA.

Selepas itu, pelbagai task diberikan kepada penulis termasuk menjayakan NBOS My Kampung My Future dari Sabah dan Sarawak hinggalah ke kampung halaman penulis sendiri di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.

Pada tahun 2010, kerajaan negara China menghantar delegasi untuk bekerjasama dengan penulis. Ini diikuti pula kerajaan Australia, Vietnam dan Thailand kerana keyakinan dan teruja dengan cara penulis membangunkan pertanian generasi baru. Vietnam sendiri menghantar tenaga pengajar vokasional untuk dilatih penulis di Melaka.

Namun, usaha dan tungkus lumus penulis hancur lebur akibat dasar yang tidak konsisten. Sejak lima tahun kebelakangan ini lagilah ranap kerana pertiukaran kerajaan yang masing-masing berebut kuasa dan harta.

Dalam kes tanah di Perak, penulis terpaksa menyaman Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak kerana gagal menyediakan perjanjian pajakan tanah sejak tahun 2017. Zaman BN tidak melunaskan tanggungjawab. Zaman PH rampas dan beri sepenuhnya pada tauke Cina. Zaman PN tak tahupula  nak buat apa.

Pendek kata, jika kita tidak mempunyai iltizam dan keberanian untuk melakukan jajaran semula sektor pertanian negara, percayalah kita akan menuju kehancuran yang semakin membara dan meninggalkan masalah kepada anak cucu masa depan. Hari ini kesannya sudah dirasai.

Yang menjadi Menteri , jangan leka dengan kuasa.

Yang menjadi Menteri Besar, jangan leka ke hulu ke hilir sebagai MB.

Yang menjadi pegawai kerajaan, jangan leka dengan kerusi empuk di pejabat dengan gaji dan pencen.

Penulis akhiri kolum minggu ini dengan menggajak semua pihak membaca Facebook Hafizan Rahmat yang meluahkan mengapa anak muda tidak minat menceburi sektor pertanian. Penulis yakin bahawa beliau sendiri adalah graduan anak didik MAFI i.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.