Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Datuk Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu./ Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Datuk Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu termasuk Ketua Polis Negeri Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, selain Ayob, pengurniaan darjah DMIJ yang membawa gelaran Datuk turut dikurniakan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Amir Nasruddin dan bekas Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Agus Salim Yusof.

Turut menerima Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil yang membawa gelaran Datin Paduka.

Majlis pengurniaan darjah tersebut adalah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat individu.

“Penerima SIJ ialah Pegawai Daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali, Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor Abu Bakar Abd Aziz, Pengarah Perangkaan Johor Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Negeri Johor Maimunah Othman,” menurut hantaran itu.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram