BUKAN Johor Darul Takzim (JDT), tetapi KL City FC muncul pemenang Piala Malaysia yang memasuki 100 tahun penganjuran tahun ini.

Yang pasti, KL City FC membuktikan segala ramalan pakar bola sepak meleset apabila menewaskan JDT dengan meyakinkan menerusi jaringan 2-0.

Dalam aksi penuh menarik di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, KL City mempamerkan aksi penuh disiplin sekali gus membuatkan barisan serangan JDT buntu.

Seperti dijangka, JDT yang mempunyai limpahan pilihan pemain tidak menunggu lama untuk melakukan asakan awal ke kubu skuad warga kota yang dikawal Kevin Mendoza.

Meski pun JDT memiliki ramai bintang dari pemain tempatan, naturalisasi dan import hasil bajet mewah dimiliki, namun itu bukan jaminan memiliki kejuaraan.

Sebaliknya, KL City terus fokus sepanjang perlawanan menyerap setiap asakan lawan sambil menanti masa melakukan serangan balas pantas ke gawang JDT.

Ketika ditanya aksi Mendoza, jurulatih KL City, Bojan Hodak memilih untuk memuji aksi kesemua pemainnya.

Taktikal Bojan Hodak menjadi malam ini./ Gambar FB MFL

Namun jurulatih Croatia itu mengakui Mendoza dan barisan pertahanan KL City cukup fantastik malam ini.

“Barisan pertahanan bermula dengan pemain serangan. Kita bermain secara kompak malam ini.

“Dan inilah hasilnya,” katanya yang gembiran pemain KL City mengikuti setiap perancangannya.

Tambah Hodak, gol pertama perlawanan malam ini yang berpihak kepada pasukannya adalah satu kelebihan besar.

“Kita berjaya kekang 30 minit pertama perlawanan ketika JDT bertali arus mengasak. Tetapi di separuh masa kedua, kita ada lebih ruang (menyerang),” jelasnya.

Setelah berakhir 0-0 pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan meningkatkan asakan selepas babak kedua bersambung.

Bagaimanapun, Mendoza tetap kebal mempamerkan aksi terpuji dan pada masa sama jentera tengah KL City bijak mencari peluang.

Hasilnya, pada minit 66, pemain sayap, J. Parthiban mengatasi kawalan Matt Davies bagi membuat hantaran lintang yang disudahkan cemerlang Zhafri Yahya.

Ketika pemain JDT mula cemas, KL City pada minit ke-74 sekali lagi membuat asakan di sebelah kiri.

Menerusi satu hantaran cantik Ryan Lambert, Paulo Josue berjaya mendada dan menyudahkannya menerusi rembatan kencang menewaskan Farizal Marlias.

Walaupun masa perlawanan masih berbaki 15 minit, bintang-bintang JDT seakan hilang punca untuk mencari jalan menembusi taktikal Bojan Hodak.

Baca: KL City diharap jadi empat pasukan terbaik Malaysia – Annuar

Malam gemilang KL City dilengkapkan dengan kemasukan Shukor Adan, pada hujung perlawanan sekali gus menjadi momen indah buat pemain veteran berusia 42 tahun yang bakal bersara.

Akhirnya, wisel penamat dibunyikan sekali gus menghampakan peminat kelab dari selatan yang berbelanja besar itu.

Sementara itu, Mendoza yang juga penjaga gol skuad kebangsaan Filipina bagaimanapun tidak dipilih pemain terbaik perlawanan.

Sebaliknya penjaring gol pertama KL City, Zhafri muncul man of the match.

Kemenangan Piala Malaysia 2021 juga menamatkan kemarau kejuaraan buat pasukan warga kota yang pernah mencapai status elit pada hujung 80-an.

Dalam dekad itu, Kuala Lumpur muncul pemenang Piala Malaysia tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989 dengan menewaskan lawan sama, Kedah.