JEPUN menjadi negara terbaru yang melaporkan kes pertama COVID-19 varian Omicron.

Kes berkenaaan melibatkan seorang lelaki yang pulang dari Namibia, Afrika menurut laporan Japan Times.

Menurut sumber kerajaan, lelaki berusia 30-an itu disahkan positif varian itu ketika menjalani ujian saringan di lapangan terbang Narita pada Ahad lalu.

Pada Isnin, Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata, kerajaan melarang kemasukan semua warga asing berikutan kebimbangan mengenai varian baharu COVID-19 itu.

Langkah tersebut telah dilaksanakan bermula Selasa selama sebulan, mewajibkan rakyat tempatan dan warga asing dengan status pemastautin yang balik dari kawasan berisiko tinggi perlu menjalani kuarantin selama 10 hari di kemudahan ditetapkan kerajaan.

Selain Jepun, Hong Kong dan beberapa negara di benua Eropah juga sudah melaporkan kes postif varian Omicron.

Kesemuanya melibatkan individu yang tiba dari negara-negara di selatan benua Afrika.