BERGSON Da Silva (kiri) dan Romel Morales tentunya menjadi sandaran utama JDT serta KL City FC untuk menggegar gawang lawan malam ini.

PERTEMBUNGAN akhir Piala Malaysia malam ini antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjanjikan aksi menarik.

Ibarat pertemuan ‘David vs Goliath’, perlawanan akhir ini juga tentunya akan menjadi memori indah buat pemenang apatah lagi Piala Malaysia kali ini merupakan penganjuran edisi ke-100.

Lebih menarik, kedua-dua pasukan memiliki rekod cemerlang tanpa kalah bagi semua 10 perlawanan dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Turun sebagai underdog, KL City menampilkan aksi memberangsangkan di peringkat kumpulan apabila mengetepikan cabaran Sarawak United, Sri Pahang FC dan juga Penang FC.

Prestasi The City Boys sejak berada di bawah kendalian Bojan Hodak juga tidak boleh dipandang sebelah mata.

Skuad warga kota itu mencipta sejarah unik apabila tidak pernah tewas di gelanggang sendiri di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sepanjang kempen Liga Super 2021.

Penyerang import dari Colombia, Romel Morales pula sudah pasti menjadi taruhan terbaik apatah lagi telah pun menyumbat 10 gol sepanjang kempen Piala Malaysia.

Merungkai tentang pencapaian JDT pula tidaklah sesukar mana kerana gergasi bola sepak negara itu bukan nama asing tidak kira dalam saingan liga, Piala Malaysia atau Piala FA.

Baca artikel berkaitan: Bonus khas untuk KL City jika julang Piala Malaysia – Annuar Musa

Cuti khas Johor jika JDT bawa pulang Piala Malaysia

Juara bertahan Piala Malaysia itu memiliki kekuatan di setiap posisi dan dilihat akan sekali lagi tampil garang ‘membaham’ KL City.

Statistik JDT sepanjang Piala Malaysia ini juga amat ‘menggerunkan’, meledak 19 gol dan hanya dibolosi dua gol sahaja.

Harapan menjaringkan gol tentunya tertumpu kepada penyerang prolifik mereka, Bergson Da Silva yang telah pun mengumpul tujuh gol setakat ini.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan peringkat akhir pertama antara kedua-dua pasukan setelah diswastakan, namun JDT mungkin mahu mencipta semula memori pada tahun 1985 apabila Johor FA menewaskan Kuala Lumpur FA untuk merangkul Piala Malaysia buat kali pertama.

Johor FA yang ketika itu dibarisi pemain legenda seperti Dollah Salleh, Khalid Shahdan dan Nasir Yusof membenam Kuala Lumpur FA dengan jaringan 2-0.

KL City pula tentu mahu mengulangi sejarah pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia yang dicapai Kuala Lumpur FA pada tahun 1987, 1988 dan 1989.

Tahun 1989 juga merupakan kali terakhir pasukan itu menjejakkan kaki ke perlawanan akhir.

Atas kertas, JDT dilihat mempunyai peluang cerah mempertahan gelaran tetapi KL City juga mahu pastikan Harimau Selatan pulang hampa.

Siapa bakal menangis kegembiraan? Siapa pula meratapi kesedihan? Semuanya bakal terjawab di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram