Menteri Komunikasi dan Multimedia ,Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEJAYAAN KL City FC menempah tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini diharap mampu memangkin usaha menjadi empat pasukan terbaik dalam liga Malaysia.

Presiden KL City FC, Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan itu mempunyai segala potensi dan ramuan terbaik untuk mencapai sasaran berkenaan.

Menurut beliau, kemasukan pasukan itu ke perlawanan akhir itu juga diharap mampu menambah keyakinan warga ibu kota untuk menyokong pasukan kebanggaan mereka.

Annuar berkata, beliau tidak terlibat dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) atas pilihannya sendiri dan cuma mahu menyokong KL City daripada belakang atas rasa cinta kepada bola sepak.

“Saya tak nak usik (KLFA) dan saya hanya kata cuma mahu bantu pasukan kerana saya memang minat dalam pengurusan bola sepak sejak dahulu sampai sekarang.

“Saya lihat KL City ini ada segala potensi yang baik dan kita harap kemasukan ke final menambah keyakinan kepada semua orang sebab kadang-kadang orang KL duduk sebelah stadium pun tak datang menyokong.

“Warga kota belum disebatikan lagi dengan semangat bola sepak, jadi final malam ini kita mulakan sesuatu, ada peranan untuk dimainkan semua.

“Saya harap selepas edisi ke-100 Piala Malasia ini akan membuka lembaran baharu bagi KL City menjadi salah satu daripada empat pasukan terbaik sepanjang masa,” katanya.

Baca artikel berkaitan: KL City atau JDT? Siapa bakal julang trofi Piala Malaysia edisi ke-100?

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan perjumpaan dengan bekas-bekas pemain Kuala Lumpur di Rumah [email protected] Seasons, hari ini.

Majlis meraikan bekas pemain itu turut diserikan dengan pemberian tiket final malam ini dan cenderamata khas.

Antara legenda Kuala Lumpur yang hadir termasuk Subadron Aziz dan Shahrin Majid.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau meminta untuk mengadakan pertemuan dengan bekas pemain Kuala Lumpur sebagai mengenang jasa dan keringat yang disumbangkan sewaktu menyarung jersi skuad ibu kota itu.

katanya, semangat kepada pasukan yang akan turun beraksi malam ini mesti disalurkan daripada bekas-bekas pemain.

“Kita harap skuad dapat menunjukkan prestasi permainan yang bagus walaupun kita tahu JDT dalam kelas tersendiri.

“Kita hormati pasukan yang baik tetapi kita juga perlu mengalahkan pasukan yang baik,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram