PASUKAN Kuala Lumpur FC sedang menjalani latihan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia. - Gambar Twitter MFL

PEMAIN Kuala Lumpur (KL) City FC bakal menerima bonus khas sekiranya berjaya menjulang Piala Malaysia 2021 apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Tan Sri Annuar Musa. – GAMBAR: Abd Razak Aid

Presiden kelab tersebut, Tan Sri Annuar Musa berkata, insentif itu akan diberi sebagai penghargaan buat pemain jika skuad ‘The City Boys’ mampu menamatkan kemarau 32 tahun, selepas kali terakhir muncul juara Piala Malaysia pada 1989.

“Sememangnya kelab mempunyai dasar akan memberi bonus khas jika pasukan memenangi Piala Malaysia. Selain kelab, saya juga akan membuat sumbangan peribadi sebagai menghargai pemain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, secara prinsip kelab mengamalkan sistem memberi bonus penghargaan kepada pemain dan ia telah diperkenalkan sejak saya sertai kelab ini.

“Pemain perlu dihargai. Bonus sememangnya ada tetapi saya tidak mahu sebut berapa jumlahnya. Untuk final, kita ada bonus kejuaraan. Seperti juga kita beri bonus ketika mereka menang di perlawanan separuh akhir,” tambahnya.

“Maka dengan hadiah kejuaraan ini, saya yakin pihak penaja kita juga akan tambah nilai itu kepada pemain sekiranya kita menjadi juara,” katanya.

Menurutnya, meskipun pasukan itu tidak mempunyai pemain terkenal, komitmen jurulatih, para pemain, pihak penaja serta pengurusan telah menjadi pembakar semangat untuk menunjukkan prestasi cemerlang pada kejuaraan kali ini sehingga berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau yakin skuad kendalian Bojan Hodak tidak gerun dan akan menampilkan prestasi terbaik dalam perlawanan akhir menentang juara bertahan, JDT, yang turun selaku pasukan pilihan.

“Saya mempunyai keyakinan dengan kejayaan KL City dan mempunyai pengalaman dengan pasukan yang under dog tetapi boleh mencipta kejayaan seperti ketika bersama pasukan Kelantan dahulu,” katanya.

Katanya, apa yang penting adalah kerjasama, semangat pemain, disiplin dan semua ramuan yang pernah ada pada Kelantan dahulu kini terdapat pada KL City.

“Apabila Bojan Hodak mengambil alih sebagai jurulatih, dia mempunyai kepakaran dalam mengilap bakat-bakat baru. Kalau dilihat sekarang, bakat-bakat yang terdapat di KL City bukan nama-nama besar yang dibeli ‘ready-made’. Bakat mereka meningkat ketika bersama kelab,” katanya.

Mengenai penonton yang pertama kali dibenarkan menghadiri perlawanan akhir, Annuar berkata, perlawanan esok adalah kali pertama dibenarkan dengan jumlah yang ramai ketika negara masih dilanda Covid-19.

“Kira-kira 20,0000 penonton dibenarkan menghadiri perlawanan esok, maka mereka seharusnya menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar keselamatan semua pihak terjaga,” katanya.

Pasukan ibu kota itu pernah muncul juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut bermula 1987. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram