Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein GAMBAR: Jabatan Penerangan

PERALIHAN negara daripada fasa pandemik ke endemik akan ditangguhkan buat seketika sehingga data mengenai varian baharu COVID-19 iaitu Omicron diketahui lebih lanjut.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Menteri Kuartet kesembilan hari ini yang memberi tumpuan kepada varian Omicron.

Beliau berkata, kuartet menteri juga memahami bahawa Omicron sememangnya berisiko kerana boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas namun masih boleh dikesan melalui ujian makmal sedia ada.

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat pemantauan rapi dan kesemua ahli mesyuarat kuartet telah diberi taklumat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai tindakan segera yang telah diambil KKM dan pendekatan seterusnya dalam masa terdekat.

“Biar pun belum ada kes varian ini dilaporkan di negara kita, KKM seperti diumumkan Jumaat lalu telah melaksanakan tindakan awal termasuk tidak membenarkan warga Malaysia ke tujuh negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

“Bukan itu sahaja, KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan.

“Penting untuk saya maklumkan, buat masa ini mesyuarat kuartet telah memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha untuk beralih ke fasa endemik sehingga kita mengetahui lebih lanjut tentang Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Hishammuddin arah TUDM jalankan siasatan terperinci

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan turut memaklumkan bahawa kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron.

Katanya, KKM akan mengumumkan perkara ini secara terperinci tidak lama lagi.

“Setakat ini, kerajaan ambil maklum bahawa varian ini bukan sahaja telah menular di selatan benua Afrika tetapi juga di beberapa buah negara antaranya Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

“Susulan penularan varian ini, buat masa ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam negara untuk negeri-negeri dalam Fasa 3 dan 4 masih kekal,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram