PATAH tumbuh hilang berganti, begitulah lumrah kehidupan buat penyanyi Syamel yang hadir dengan single terbaharu berjudul Bila Kau Tiada hasil nukilan beliau sepenuhnya dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan Allahyarhamah umi serta ucapan takziah yang diberikan, saya serta isteri dan seluruh ahli keluarga amat menghargainya.

“Lagu ini saya ciptakan khas buat ibu tercinta yang telah pergi buat selamanya,” katanya kepada URTV.

Menurut Syamel, jalan yang terbaik selepas pemergian ibu tercinta adalah dengan mencipta sebuah lagu yang dapat mengingatkan beliau tentang sosok wanita istimewa yang telah melahirkannya ke dunia ini dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

“Lagu Bila Kau Tiada memang sengaja saya ciptakan bagi mengingati umi buat selamanya dan secara umumnya ia juga boleh ditujukan buat sesiapa sahaja seperti isteri, suami, ibu dan bapa mahupun kekasih. 

“Kiranya ia juga boleh diletakkan dalam pelbagai situasi mengenai seseorang yang reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi dan pada masa yang sama terlampau rindu dengan orang tersayang yang telah pergi buat selamanya,” terangnya.

Lagu yang berdurasi 3:50 minit ini dialunkan dalam nuansa balada pop yang sememangnya menjadi forte Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly tatkala mula-mula bergelar penyanyi sejurus selepas berakhirnya program realiti Akademi Fantasia pada 2015. 

Dalam pada itu, jila diamati setiap bait liriknya, ia pasti meruntun hati sesiapa yang mendengarnya ditambah pula dengan vokal Syamel yang lunak serta menggamit perasaan.

“Jujur saya katakan bahawa ketika memasuki studio milik Sharon Paul, hati rasa berdebar kerana harus mempersiapkan mental serta emosi buat lagu ini, sehingga terpaksa saya ulangi beberapa kali sampailah proses rakaman selesai sepenuhnya.

“Namun Sharon mengerti dengan apa yang cuba saya sampaikan agar ada ‘jiwa’ dalam nyanyian saya, ini kerana saya telah beberapa kali bekerjasama dengan beliau sebelum ini,” tambahnya lagi.

Namun, dalam meratapi kesedihan ada berita gembira yang ingin dikongsi bersama isteri tercinta iaitu penyanyi terkenal, Ernie Zakri buat peminatnya.

“Alhamdulillah, kami suami isteri sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama dalam beberapa bulan lagi dan tak sabar rasanya bergelar ibu dan bapa,” ujarnya.

Video muzik (MV) yang dilancarkan serentak dengan single terbaharunya itu memaparkan perjalanan hidup Syamel dari kecil sehingga bergelar penyanyi yang turut mempamerkan emosinya yang merindui seseorang yang tidak mungkin akan kembali lagi.

Arwah ibu Syamel iaitu Wan Faaizah Karim yang merupakan ibu adalah tonggak kekuatan Syamel sepanjang karier beliau sebagai penyanyi dan kini sosok wanita kuat tersebut pergi buat selamanya.

“Saya telah kehilangan penyokong nombor satu saya iaitu umi, beliaulah yang selalu berada bersama saya sewaktu saya mula-mula masuk ke bidang seni selain ayah dan ahli keluarga yang lain. 

“Namun kini, saya bersyukur dengan kehadiran Ernie sebagai suri hidup yang menyerikan kedukaan saya ditambah pula dengan kehadiran permata hati yang bakal tiba nanti, Insya-Allah.

“Saya berharap agar single Bila Kau Tiada dapat diterima oleh semua dan menjadi lagu ‘peneman’ kepada mereka yang kehilangan dan boleh didengar apabila mereka terlampau merindukan seseorang.

“Saya juga ingin menyarankan agar rakyat Malaysia sentiasa menjaga diri masing-masing dan jangan menjadi ‘ganjil’, serta patuhilah SOP yang dikeluarkan oleh kerjaan, selain belajar beradaptasi dengan COVID-19 pada masa akan datang,” akhiri Syamel.

Bila Kau Tiada boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram