KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada kes COVID-19 varian Omicron dikesan setakat ini di Malaysia.

KKM turut menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa bahawa varian baharu itu telah dikesan di Perak.

Sehubungan itu, kementerian itu menyarankan orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat daripada sumber tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan.

“KKM menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa varian Omicron yang merupakan varian baharu COVID-19 dengan 32 mutasi ‘spike protein’ iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta dikesan di Perak.

“Setakat ini tiada kes COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia.

“Orang ramai disaran agar menghentikan penyebaran maklumat daripada sumber tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat sebaliknya merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Varian baharu COVID-19 itu yang dirujuk sebagai B.1.1.529 pertama kali dilaporkan muncul di Afrika Selatan pada 24 November lalu.

Baca artikel berkaitan: UK, Jerman, Itali lapor kes COVID-19 babitkan varian Omicron

Jumaat lalu, kerajaan memutuskan untuk membuat sekatan sementara kemasukan pengembara warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari dari tujuh buah negara-negara Afrika.

Tujuh negara berkenaan adalah Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, ia sebagai langkah-langkah pencegahan dan kawalan sempadan ekoran laporan kemunculan varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529.

Pada masa sama, kata beliau, warganegara Malaysia yang merancang untuk melawat ketujuh-tujuh negara tersebut juga tidak dibenarkan meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, Khairy memaklumkan, warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang dari negara-negara berkenaan dibenarkan memasuki negara tetapi dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram